KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman seperti didakwa pendakwah bebas Firdaus Wong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan kerajaan tidak memberikan pampasan RM2 juta kepada pihak kuil seperti didakwa.
“Saya ingin memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tular di media sosial, khususnya menerusi hantaran oleh Firdaus Wong di laman Facebook beliau semalam, yang mendakwa dengan pertanyaan kononnya kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM 2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.
“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” jelas Dr Zaliha.
Tegas beliau lagi, keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.
“Perkara paling utama, pembinaan Masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.
“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.
“la adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini. Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” ujar Dr Zaliha.