Kerajaan Kedah Minta Maaf, Dakwa ‘Silap Teknikal’ Isu Tugu Wira Tentera Jepun

ALOR STAR — Kerajaan Kedah memohon maaf atas kesilapan teknikal mengenai perkataan ‘wira’ yang tercatat pada papan maklumat tugu memperingati tentera Jepun di perkarangan Muzium Negeri Kedah di sini, yang dirasmikan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris turut menyatakan permohonan maaf itu mewakili pihak Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Beliau berkata kesilapan itu timbul apabila syarikat yang mencetak papan maklumat serta kain rentang majlis perasmian tugu Jepun itu salah menterjemah maklumat yang disediakan pihak Konsulat Jepun.

Katanya tugu berkenaan sebenarnya sudah lama dibina iaitu pada 1941, semasa perang dunia kedua belum tamat, dan baru-baru ini dibuat pemulihan bertujuan untuk memelihara artifak sejarah berkenaan.

“Bagi pihak Jepun, anggota tenteranya yang terkorban pada peperangan itu dianggap sebagai wira, namun kita tetap menganggapnya sebagai penjajah,” katanya.

Mohd Asmirul berkata keadaan itu sengaja dimanipulasikan sesetengah pihak sehingga timbulnya kontroversi yang dianggap sebagai promosi percuma kepada pelancongan di negeri ini.

Kelmarin, tular di laman sosial kononnya perasmian tugu Jepun itu menunjukkan kerajaan negeri mengiktiraf tentera Jepun yang terkorban semasa zaman penjajah dahulu sebagai wira.

Selepas menerima pelbagai kritikan berhubung perkara itu, papan maklumat pada tugu Jepun itu diturunkan petang kelmarin.

Di Kuala Lumpur, Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat Malaysia (Sedar Malaysia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, mahu agar tugu tentera Jepun yang telah dibaik pulih di Alor Setar dimusnahkan bagi menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

Presidennya Nazrin Norani berkata sebagai rakyat yang patriotik, maruah negara perlu dipelihara bagi menghargai jasa pejuang negara yang terkorban bagi menyelamatkan negara daripada penjajah.

“Yang penting adalah maruah negara dan pengorbanan pejuang-pejuang negara yang telah menentang penjajah.

“Sedar Malaysia akan menentang sepenuhnya perbuatan yang mengagung-agungkan penjajah atau komunis,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak kedutaan Jepun, di sini, semalam. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.