Tun Mahathir Dakwa Ku Li Dalang Gulingkan Najib

KUALA LUMPUR – Tun Mahathir Mohamad hari ini membidas tindakan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang secara tiba-tiba menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Mahathir yang terkejut dengan tindakan itu turut mendakwa bekas musuh politiknya itu sebagai dalang disebalik gerakan untuk membuat undi tidak percaya di Parlimen bagi menjatuhkan Najib.

 

“Kemudian akan beliau menguar-uarkan usul undi tak percaya dalam kalangan anggota Parlimen dan walaupun beliau mengatakan boleh mendapat undi majoriti anggota Dewan Rakyat, tetapi beliau tidak dapat sebenarnya.

 

“Beliau tidak buat apa-apa pun (tapi) hanya minta orang lain buat untuk beliau. Beliau suruh saya jumpa orang Sarawak dan saya buat. Saya ikut suruhan dia,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, pada Sabtu.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ku Li dan beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang menandatangani deklarasi menyokong Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

 

Mahathir yang  jelas kecewa dengan tindakan tersebut turut menyifatkan bekas musuh politiknya itu sebagai pengkhianat.

 

“Saya takkan sokong orang macam itu. Tapi saya rasa beliau (Ku Li) sokong.

 

“Pengkhianatan Ku Li itu bukan sesuatu luar biasa kerana beliau pernah berbuat demikian beberapa kali sebelum ini,” katanya lagi.

 

Tidak cukup dengan itu, Mahathir turut menyalahkan Ku Li yang dikatakan sebagai punca UMNO diharamkan suatu ketika dahulu.

 

“Apabila beliau kalah pemilihan, beliau menyaman parti (UMNO) dan keputusannya kemudian parti langsuang diharamkan. Saya terpaksa ambil masa bina semula parti yang berkecai dan beliau pula pergi tubuhkan parti lain.

 

“Apa yang kita boleh harapkan daripada orang yang macam ini?” soal Mahathir lagi tanpa menjelaskan ketidakhadiran Tengku Razeleigh pada majlis pengumuman Deklarasi Rakyat anjuran beliau dengan pembangkang sebelum itu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.