Video: Warga Emas Terheret Ketika Diragut

Kuala Lumpur – Rakaman secara tidak sengaja menunjukkan insiden cubaan ragut melibatkan seorang warga emas berhampiran sebuah bank di Jalan 20/16A, Petaling Jaya, berjaya membantu polis memberkas dua suspek berusia lingkungan 20-an.

 

Video tersebut yang kini menjadi viral di Facebook menunjukkan seorang wanita warga emas sedang menunggu untuk menyeberang jalan.

 

 

Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu, seorang warga emas Seow Wah Yin, 76, cuba melintas jalan apabila beg tangannya tiba-tiba sahaja diragut dua suspek di atas motosikal jenis Honda EX5 dan menyebabkan Seow jatuh dan terseret beberapa meter.

 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata, insiden itu berlaku di Jalan 20/16A di sini kira-kira pukul 10.20 pagi Rabu.

 

“Lau Hong Leng, seorang suri rumah berusia 40 tahun menyaksikan kejadian itu ketika dia berada di dalam kereta semasa menunggu suaminya.

 

“Dia kemudiannya membuat laporan polis yang disertakan dengan nombor plat kenderaan yang dirakamkan di dalam video itu,” katanya ketika dihubungi.

 

Seow mengalami kecederaan di dahi, tangan dan ibu jari kaki sebelah kanan akibat terseret di atas jalan raya dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

 

Namun, kedua-dua suspek tidak berjaya mendapatkan beg tangan mangsa.

 

Rakaman kejadian dibuat oleh seorang wanita yang menunggu di dalam kereta sementara suaminya membuat urusan di bank.

 

Maklumat yang diberikan itu membawa kepada penahanan dua suspek berusia 21 dan 24 tahun.

 

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.