PR Selesai Dulu Isu Hudud, Baru BN Nyata Pendirian

KUALA LUMPUR – BN tidak perlu tergesa-gesa menyatakan pendirian terhadap undang-undang persendirian (RUU) berkaitan hudud yang kini menjadi isu hangat diperdebatkan oleh gabungan pembangkang.

 

Malah menurut Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, belum tiba masa untuk parti itu menyatakan sebarang pendirian terhadap undang-undang Islam itu.

 

Tan Sri Annuar Musa berkata, BN hanya perlu nyatakan pendirian apabila semua urusan kerajaan selesai sebelum undang-undang itu dibahaskan di Dewan Rakyat kelak.

 

“Sebenarnya isu BN nyatakan pendirian belum berbangkit… belum sampai masa kerana apa yang nak dibawa itu adalah RUU persendirian. Dalam peraturan Parlimen, rang undang-undang persendirian hanya boleh dibahaskan setelah semua urusan kerajaan selesai.

 

“Jadi, sehingga ke hari ini kita belum tahu bila ia akan dibahaskan. Oleh sebab itu, belum sampai masanya, BN tak perlu tergesa-gesa. Kita buat (pendirian) apabila sudah tiba masanya,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

 

Menurutnya lagi, BN tidak sepatutnya mendahului tuan punya RUU iaitu Pas dan PR memandangkan undang-undang itu masih belum selesai di peringkat pakatan itu.

 

“Jadi, dalam hal ini, BN tidak seharusnya mendahului tuan punya RUU iaitu Pas dan PR. Hudud ini masih di peringkat Pas dan PR di mana masih ada isu-isu yang belum selesai. Kita tak perlu campur.

 

“Di luar PR, ada isu masyarakat sivil pula. BN kena dengar dahulu semua pendapat sebab ini isu penting yang sentuh agama dan keharmonian,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang lagi MT Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui masih kabur tentang hudud kerana belum menerima penjelasan mengenai undang-undang itu daripada pemimpin Pas.

 

“RUU persendirian itu, saya sendiri pun tak baca lagi bentuk… penerangannya. Saya pun tak pernah lagi diminta untuk berjumpa dengan mana-mana pemimpin Pas. Saya ada satu undi, daripada Sabah pula.

 

Saya pun hairan kenapa pihak Pas tidak pernah menghubungi saya… memberikan penerangan tentang apa yang mereka mahu buat tentang hudud ini.

 

“Saya langsung tak tahu hujung pangkal. Saya hanya baca di akhbar tetapi kalau saya dari Pas, mahukan sokongan, kita kena berusaha untuk pastikan bahawa ahli-ahli Parlimen sama ada Muslim atau bukan, Sabah dan Sarawak faham apa dia yang hendak dibawa,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau menegaskan masih perlu menunggu maklumat dan penjelasan tepat berhubung undang-undang itu sebelum menyatakan pendirian peribadi.

 

“Pada pandangan saya mungkin tunggu hingga dapat maklumat lebih tepat. Kalau di luar negara, mereka akan hubungi seorang demi sorang untuk dapatkan undi…jelaskan.

 

“Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira. Ulama pun ramai yang berbeza pendapat. Pemimpin politik juga begitu.

 

“Kalau tanya saya setuju atau tidak, saya pun tidak tahu setuju dan tidak setuju yang bagaimana,” katanya.

 

Sementara, seorang lagi MT Umno, Datuk Bung Mokhtar Raden menyatakan sokongan terhadap hudud atas kapasitinya sebagai seorang yang beragama Islam.

 

Namun, beliau turut menyentuh soal bagaimana persediaan Pas untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.

 

“Sebagai ahli Parlimen beragama Islam memang saya setuju hudud ini sebab hudud hukum Islam tapi bagaimana persediaan Pas untuk laksana hudud itu sendiri?

 

“Saya rasa PM masih perlu minta pandangan ulama Umno dan ulama kerajaan sebelum menyatakan pendirian,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.