PM Hadiri Forum Boao Asia Di China

Hainan – Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri Forum Boao Asia (BFA), 2015 di sini, bermula esok hingga 28 Mac ini.

 

Perdana Menteri yang menerima jemputan Presiden China, Xi Jinping dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Meilan, Haikou pada jam 4.20 petang dan disambut oleh Naib Gabenor Hainan, Lu Chunhua dan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

 

Beliau yang diiringi oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting dan Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya serta rombongan akan menaiki kereta api laju khas dari stesen kereta api Meilan ke Boao yang mengambil masa 47 minit.

 

Zainuddin berkata, Perdana Menteri akan tiba ke penginapan rasmi di Hotel Golden Coast Hot Spring, Boao, pada jam 6 petang.

 

“Perdana Menteri kemudian akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden China di Rumah Tetamu Negara Boao sebelum menghadiri jamuan makan malam yang diadakan khas untuk pemimpin Malaysia itu,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, semalam.

 

Katanya, Perdana Menteri diberi penghormatan memberi ucapan sebaik majlis perasmian oleh Jinping di Pusat Konvensyen Antarabangsa BFA, pada 28 Mac ini.

 

Selain Najib, forum kali akan disertai 14 pemimpin dunia termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo; Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena; Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah Al-Thani dan Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofren.

 

BFA adalah badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan mencari keuntungan.

 

Objektif penubuhannya bertapak di Asia dan menggalakkan serta memantapkan pertukaran, penyelarasan dan kerjasama ekonomi sesama negara Asia selain dengan negara seluruh dunia. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.