PERKASA Lapor Polis Isu Facebook ‘Murtad’

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA Kelantan meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik akaun laman sosial Facebook “Murtad In Pantai Timur” yang menghina kesucian Islam dan sultan Kelantan.

 

Yang dipertuanya Che Aseri Ali berkata tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pemilik akaun itu yang disifatkan melampau.

 

“PERKASA Kelantan memandang serius dan menentang sekeras-kerasnya apa jua bentuk penghinaan terhadap Islam,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di IPD Pasir Mas hari ini .

 

“Jadi hari ini, saya bersama beberapa anggota Perkasa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan ‘keji’ yang dikeluarkan oleh pemilik akaun berkenaan.”

 

Che Aseri juga berkata sebuah lagi pemilik akaun laman sosial Facebook Adlin Binti Abdul Jalil turut bertindak menghina Islam dan sultan Kelantan yang menyokong pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

 

Beliau berkata tindakan kedua-dua pemilik akaun Facebook itu telah mengguris perasaan dan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam di negara ini, lapor Bernama.

 

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak, selepas 44 anggota DUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 20 Februari lalu berkata Facebook “Murtads In Pantai Timur” telah ditutup.

 

“Terima kasih atas kerjasama dan tindakan pantas semua pihak dan agensi yang terlibat,” menurut kenyataan Jakim di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.