Pengguna Lebuhraya Terkejut, Kehadiran Pocong Di LATAR

Kuala Lumpur – Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dikejutkan dengan kemunculan satu lembaga putih menyerupai mayat dikafankan atau `pocong’ terbaring di atas lebuh raya berkenaan.

 

Rata-rata pemandu dikatakan bertindak memecut kenderaan masing-masing, kerana ketakutan apabila melihat lembaga putih yang terkujur kaku itu berada di atas lebuh raya.

 

Bagaimanapun, seorang lelaki yang sedang memandu menuju ke Kuala Selangor bertindak sebaliknya.

 

Walaupun beliau mengakui terkejut, sejurus selepas melihat ‘lembaga putih’ namun rasa ingin tahu mengatasi ketakutannya.

 

Dia kemudianya memberanikan diri untuk memberhentikan keretanya, lalu turun mendekati lembaga putih itu.

 

Setelah diperiksa, pemandu berkenaan mendapati, ia adalah bungkusan kain putih yang diikat menyerupai mayat dikafankan atau ‘pocong’, dan bahagian dalamnya dipercayai berisi bahan seperti bantal, kekabu ataupun span.

 

Objek itu disyaki diletakkan indidvidu tidak bertanggungjawab, dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pengguna lebuh raya berkenaan atau mempunyai niat tertentu.

 

Kejadian itu kemudiannya tersebar di laman sosial Facebook dan menjadi viral, dengan beberapa keping gambar menunjukkan pemandu lelaki terbabit sedang memeriksa ‘lembaga putih’ itu, turut dimuat naik.

 

Kisah itu mendapat banyak komen pengguna Facebook, dengan ramai yang beranggapan ia adalah satu taktik pihak tertentu untuk menyamun.

 

Tidak kurang juga yang menyuarakan rasa takut menggunakan lebuh raya berkenaan, lebih-lebih lagi pada waktu malam, kerana bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LATAR, Hairunnisa Kastolany dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

pocong 2

 

“Objek putih itu sengaja diletakkan individu tidak bertanggungjawab, tanpa diketahui niat sebenar ia dilakukan.

 

“Pihak kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan sebegini, kerana dianggap keterlaluan, selain boleh membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya kami,” tegasnya.

 

Beliau turut memaklumkan, pihaknya mengadakan pemantauan di sepanjang lebuh raya itu, selain bekerjasama dengan polis bagi menjaga keselamatan dan keselesaan pengguna.

 

Minggu lalu, penduduk di kawasan Taman Kota Jaya, dekat Kota Tinggi, Johor gempar dengan kemunculan lembaga putih berupa ‘pocong’ yang tersandar di sebatang pokok pisang, berhampiran sebuah simpang tiga di kawasan mereka.

 

Lembaga berukuran kira-kira 1.5 meter yang dibentuk menyerupai mayat dikafankan itu, ditemui di persimpangan Jalan Nangka-Jalan Belinjau, menuju Kampung Kelantan, pada awal pagi.

 

Kejadian itu menyingkap kembali kisah penemuan lima objek menyerupai pocong di tebing Sungai Johor, di sebuah kampung di pinggir bandar Kota Tinggi, lima tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.