Padang Pasir Di Chile Dilanda Banjir Kilat

Chile – Banjir kilat di salah satu kawasan yang paling kering di dunia, padang pasir Atacama, Chile menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik dan air.

 

Hujan yang berterusan di Andes pada Selasa telah menyebabkan air banjir melimpah di kawasan rendah di lembah dan bandar-bandar berhampiran.

 

Di bandar Copiapo, tebing sungai mulai pecah disebabkan limpahan air.

 

Pihak berkuasa tempatan mulai memindahkan penduduk tempatan menggunakan helikopter kerana bimbang berlaku limpahan lumpur yang sekaligus boleh memburukkan lagi keadaan.

 

Sementara itu, pihak kerajaan yang dipetik daripada BBC berkata hujan lebat dijangka berterusan dalam tempoh 12 jam akan datang serta turut menyifatkan keadaan di bandar padang pasir Chanaral sebagai ‘kritikal’.

 

Berikutan keadaan yang semakin teruk, Presiden Michelle Bachelet dilaporkan membatalkan urusan beliau dan akan terbang ke Copiapo bagi meninjau keadaan semasa.

 

Ribut yang bermula pada petang Selasa memaksa jalan raya ditutup, selain menyebabkan bekalan kuasa dan komunikasi terputus.

 

Pegawai tempatan berkata dijangka 38,000 orang terputus bekalan elektrik dan lebih 48,500 yang lain tanpa bekalan air minuman.

 

“Sesiapa sahaja dalam zon berisiko di rantau Atacama perlu dipindahkan,” kata Menteri Dalam Negeri Rodrigo Penailillo yang dipetik daripada BBC.

 

Banjir melanda ketika selatan Chile bergelut dengan kebakaran hutan yang besar selain diburukkan keadaan dengan kemarau berpanjangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.