Najwa Mahiaddin, Idris Selamat Diijabkabulkan

Kuala Lumpur – Penyanyi, Najwa Mahiaddin, 28 selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Idris Koh Keng Hui, 29 di di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan sendiri akad nikah berkenaan pada jam 11.40 pagi, di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat dan khatib, Dr. Sirajuddin Suhaimee.

 

Majlis pernikahan ringkas tetapi meriah berkenaan, turut dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada ibu dan bapa pengantin lelaki, Chiam Juat Wah dan Koh Lai Poo, ahli keluarga pengantin kedua belah pihak serta sahabat handai.

 

“Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana baru selesai tadi acara akad anak perempuan saya Najwa dengan pasangannya Idris Koh Keng Hui.

 

“Kepada Idris dan Najwa, selamat menempuh alam rumahtangga. Najwa, jadilah seorang isteri yang solehah, berilah ketaatan kepada suami, jagalah budi pekerti dan akhlak sebagai seorang isteri serta taatilah Allah sepanjang hidupmu,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.

 

Tambah Muhyiddin, beliau serta isterinya telah mendidik dan mengasuh sebaik mungkin untuk menjadikan Najwa anak yang solehah dan berjaya.

 

“Ayah dan Mama mendoakan semoga Allah memberikan ketabahan, ketenangan dan kebahagiaan kepada kamu berdua hingga ke syurga,” ujarnya.

 

Najwa yang pernah popular dengan lagu ‘Got To Go’ dan ‘Sri Mersing’ telah mengikat tali pertunangan dengan Idris Koh Keng Hui, pada 8 Disember lalu.

 

Majlis pertunangan mereka sebelum ini dilangsungkan di Sri Satria, dengan rombongan pihak lelaki membawa tiga dulang berbalas lima daripada pihak perempuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.