Kedah Tidak Beri Pampasan Kepada Pemilik Pokok Ketum

Alor Setar – Kerajaan negeri Kedah tidak akan menawarkan sebarang bentuk pampasan kepada penanam pokok ketum yang ingin mengubah kepada tanaman lain sebagai sumber pendapatan di negeri itu.

 

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Dr Mahathir berkata soal pampasan tidak timbul sama sekali kerana kerajaan negeri hanya mahu menyelamatkan nyawa pemilik pokok ketum.

 

Kerajaan negeri telah melancarkan program advokasi untuk menggalakkan pemilik pokok ketum mengubah kepada tanaman lain sebelum daum ketum ditakrifkan sebagai dadah dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu exco kerajaan negeri di sini hari ini.

 

Pindaan rang undang-undang Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat untuk memasukkan takrif daun ketum setara dengan kesalahan berkaitan ganja.

 

Pindaan terhadap undang-undang itu meliputi sekatan ke atas pengimportan, pengeksportan, pemilikan dan penanaman daun ketum.

 

Ketum, yang daunnya direbus dan airnya diminum, dianggap sebagai ubat tradisional tetapi disalahgunakan oleh penagih.

 

Pihak berkuasa mengharamkan penyalahgunaan tanaman itu sejak 2003.

 

Sementara itu, di Kuala Kedah, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah berkata sebanyak 3,233 penagih baharu dan 1,732 penagih berulang dikesan di 11 daerah di Kedah pada tahun lepas.

 

“Kes baharu dikesan rata-ratanya melibatkan orang muda berusia bawah 30 tahun,” katanya ketika merasmikan Program Kuala Kedah Bersih, di Lorong Mayat, Kampung Ulu, di sini.

 

Beliau berkata, daerah Kuala Kedah mempunyai bilangan penagih dadah tertinggi diikuti Kota Setar, Pokok Sena, baling dan daerah Kubang Pasu.

Bagaimanapun, jumlah pecahan penagih di daerah berkenaan tidak didedahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.