‘Kebebasan Mutlak Bukan Di Sini’

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kebebasan mutlak tanpa sebarang rasa bertanggungjawab yang cuba dituntut dan diinginkan pihak tertentu tiada tempat di negara ini.

 

Serentak dengan itu, beliau dalam nada tegas mempertahankan kepentingan Akta Hasutan, selain turut menyifatkan langkah kerajaan menggubal dan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Antikeganasan adalah tepat.

 

Pada masa yang sama, Najib berkata, tiada sebab untuk kerajaan apologetik dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan negara, walaupun beberapa pihak menuduh langkah tersebut sebagai tidak demokratik.

 

“Kerajaan mesti pastikan tidak berlaku sebarang bentuk keganasan dalam negara kita, tidak perlu apolo­getik walaupun mungkin akan ada yang kata ini tidak demokratik. Saya nak kata bahawa tiada kebebasan mutlak.

 

“Kebebasan mutlak tanpa rasa tanggungjawab tiada tempat di negara ini, kita akan pastikan setiap warganegara ikut lunas undang-undang,” katanya semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

 

Sambutan tersebut turut diserikan dengan terbang lintas tiga buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), gimik pertunjukan membasmi jenayah pemerdagangan manusia oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan penyampaian Anugerah Integriti PDRM.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, untuk mentadbir dan memastikan sesebuah negara itu menjadi teguh serta kuat, terdapat empat aspek terpenting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.

 

Menurutnya, aspek pertama adalah mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, disusuli kestabilan politik serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat sebelum yang ter­akhirnya ialah aman tanpa sebarang kacau bilau.

 

“Kalau tanya saya antara empat aspek ini, mana yang lebih penting? Mana satu yang perlu kita dahulukan? Saya boleh katakan bahawa keamanan dan keselamatan adalah aspek paling penting yang perlu dipertahankan.

 

“Sebab itu janganlah kita sebagai rakyat tidak hormati polis, pandang rendah dan tuturkan kata nista, hormatilah mereka kerana disebabkan polis kita dapat hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.