Jerman Seri, Denmark Benam AS

Kaiserslautern – Juara dunia Jerman hampir dimalukan oleh Australia, sebelum jaringan lewat daripada Lukas Podolski menyamakan kedudukan untuk seri 2-2.

 

Marco Reus memecahkan kebuntuan jaringan untuk Jerman pada minit ke-17 selepas menerima hantaran daripada Sami Khedira.

 

Bagaimanapun, juara Piala Asia, Australia bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-40 apabila James Troisi menanduk masuk hantaran silang daripada Nathan Burns.

 

Australia tampil garang sebaik separuh masa kedua bermula dengan mendahului Jerman 2-1 melalui Mile Jedinak, hasil sepakan percuma menarik yang menewaskan penjaga gol, Robert Zieler.

 

Kelihatan seperti mampu mencipta kejutan besar pada perlawanan ini, 9 minit terakhir menjadi pemusnah kepada Australia apabila Lukas Podolski berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran Andre Schurrle.

 

Sementara itu, Denmark unggul dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Amerika Syarikat (AS), dengan Nicklas Bendtner menjaringkan hatrik pertama untuk negaranya.

 

AS terlebih dahulu berada di depan melalui jaringan penyerang Jozy Altidore yang menerima hantaran silang Timothy Chandler, sekaligus menewaskan Stephan Andersen pada minit ke-19.

 

Denmark menyamakan kedudukan apabila Bendtner merembat bola pada jarak dekat, hasil hantaran Lasse Vibe.

 

Separuh masa kedua berlangsung lebih sengit dengan pemain AS, Aron Johannsson menyumbat gol kedua pasukannya pada minit ke-66, sebelum Bendtner melengkapkan kemenangan Denmark dengan jaringan pada minit ke-83 dan 94.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.