400 Kanak-Kanak Sertai IS Sejak Tiga Bulan Lalu

Damsyik (Syria) – Seramai 400 kanak-kanak dicatatkan dilatih atau direkrut oleh kumpulan militan IS sejak tiga bulan lalu, lapor RT News.

 

Memetik laporan portal tersebut, Pengerusi Kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria (SOHR), Rami Abdulrahman mendakwa, kebanyakan kanak-kanak yang menerima latihan ketenteraan di kem militan itu ‘diculik’ dari bandar.

 

“Kebanyakan rekrut anak muda dan kanak-kanak yang mendapat latihan di situ berusia bawah 18 tahun. Mereka diambil dari bandar-bandar seperti al-Mayadin dan al-Bukamal berhampiran sempadan Iraq.

 

“Mereka (IS) memilih untuk melatih kanak-kanak dan anak muda kerana mudah membentuk seseorang individu pada usia muda. Mereka boleh jadikan kanak-kanak itu sebagaimana yang mereka mahu. Kanak-kanak tersebut hanya perlu dihentikan dari sekolah biasa dan latih mereka di kem IS,” katanya.

 

Tambahnya lagi, sebahagian besar ibu bapa juga dipaksa menghantar anak mereka ke kem latihan, di mana kesemua kanak-kanak terbabit diperdaya dengan kemewahan termasuk wang, senjata dan kereta.

 

Selain kem latihan, kanak-kanak juga dilatih di sekolah, masjid dan lain-lain.

 

“Kanak-kanak tersebut diajar pelbagai seni mempertahankan diri. Mereka diajar cara menggunakan senjata termasuk belajar memandu sesebuah kenderaan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.