KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengakui hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia masih belum sempurna.
Baginda malah menegaskan bahawa masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa Kebangsaan.
“Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang bermaksud : Jika hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.
Sementara itu, baginda juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.
“Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal dipelihara.
“Namun begitu, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
“Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini.
“Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dan berharap agar ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama,” titah baginda.