PAS Tak Akan Menang Di Perlis, Kata Shahidan

Hasrat PAS untuk menawan Perlis pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah sesuatu yang sukar dicapai, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan malah menyifatkan hasrat PAS itu sebagai sasaran yang tidak patut diletakkan.

“Dia (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tak patut sebut (hendak rampas Perlis)… BN akan menang 100 peratus, bukan 80 peratus, kita betul-betul buat kerja, setakat kempen saja tak jalan,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA Bahagian Arau hari ini.

Beliau mengulas laporan Harakah, akhbar milik parti Islam itu baru-baru ini yang menyiarkan, Abdul Hadi ketika berucap di Bukit Payong di Marang, Terengganu, sebagai berkata, PAS akan berusaha mempertahankan Kelantan, menang di Terengganu, Kedah, Perlis dan Selangor pada PRU akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga berkata, PAS tidak akan berjaya memerintah Perlis atau negara kerana tidak mempunyai sokongan rakyat selain ditolak di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Shahidan berkata sokongan pengundi Cina di Perlis terhadap BN kini berbeza dan dilihat semakin kuat.

“Pengundi Cina memang sentiasa bersama BN, namun dulu mereka terpengaruh dengan pelbagai hasutan hingga menyebabkan mereka mengalih undi mereka,” katanya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.