Kematian Sridevi Terus Diratapi Rakyat India

India kini berkabung di atas kematian aktres superstar Bollywood Sridevi Kapoor, yang meninggal dunia pada usia 54 tahun. Dia yang dikenali sebagai Sridevi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada Sabtu, ketika menghadiri perkahwinan anak saudaranya di Dubai.

Selama lima dekad, Sridevi telah menghasilkan lebih 300 filem, termasuk Mr India, Chandni, ChaalBaaz dan Sadma. Mendiang disifatkan sebagai antara beberapa aktres wanita yang berjaya mencapai taraf box office untuk filem lakonannya tanpa bantuan hero lelaki.

Kematiannya memang mengejutkan ramai. Bukan sahaja pelakon dan ahli politik, malah Perdana Menteri Narendra Modi turut meluahkan kesedihan dan menyifatkan kematian Sridevi sebagai kehilangan besar.

Manakala peminatnya telah membanjiri rumah Sridevi sementara menanti ketibaan mayatnya dari Dubai. Sridevi membintangi filem Tamil, Telugu, Malayalam, Kannada dan Hindi. Kariernya bermula pada usia empat tahun dan Sridevi mula menjadi pelakon utama pada 1978.

Mendiang kemudiannya menjadi bintang filem utama di India. Aktres berkenaan memutuskan untuk bersara daripada dunia lakonan selepas filem Judaai pada 1997 namun dia membuat penampilan semula pada 2012 dalam filem English Vinglish.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.