Warga Emas Fitnah Kes Kemalangan Remaja Berbasikal Ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan 3 lelaki warga emas kerana membuat kenyataan jelik dan fitnah berhubung kemalangan remaja berbasikal baru-baru ini serta menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menerusi laman sosial Facebook.

 
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata mereka ditahan secara berasingan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan 2 daripada mereka ditangkap malam tadi manakala seorang lagi awal pagi ini.

 
“Lelaki pertama berumur 65 tahun dipercayai individu bertanggungjawab membuat kenyataan jelik dan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan polis pada pukul 8.00 pagi semalam.

 
“Dia ditahan pukul 10.00 malam tadi di Ipoh, Perak selepas polis menerima 1 laporan berkaitan penyalahgunaan laman sosial berkenaan pada pukul 8.28 pagi semalam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

 
Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil tangkapan itu, polis merampas 2 kad sim dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan lelaki tersebut untuk membuat kenyataan jelik dan hasutan berkenaan menerusi Facebook.

 

 

Beliau berkata menerusi penahanan kedua dan ketiga pula, polis menahan lelaki berumur 61 dan 64 tahun, masing-masing di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor serta Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

 
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kedua-dua mereka dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan 8 remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada 18 Februari lepas.

 
Katanya penahanan itu dibuat pada pukul 11.00 malam tadi dan 2.00 pagi tadi susulan laporan polis yang dibuat pada pukul 1.02 tengah hari semalam, berkaitan kenyataan tersebut di Facebook.

 
“Polis turut merampas 2 telefon bimbit berserta 2 kad sim bagi siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

 
Ketiga-tiga lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

 
“Polis Johor ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

 
“Orang ramai juga dinasihati tidak menyebarkan apa-apa kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam melalui mana-mana aplikasi komputer,” katanya.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.