TRW Belum Tekan ‘Butang Panik’

 

KOTA BHARU – Pasukan Kelantan sedia menekan ‘butang panik’ jika terus gagal mencipta kemenangan di hadapan penyokong setia pada perlawanan seterusnya.

 

Bagaimanapun, belum tiba masanya untuk berbuat demikian kerana skuad kendalian Zahasmi Ismail itu masih mempunyai peluang dan ruang bagi meneruskan perjuangan untuk bangkit daripada tiga kekalahan di halaman sendiri sebelum ini.

 

Penolong jurulatih, Sathit Bensoh, yang kecewa dengan prestasi pasukan mengharapkan pemain tidak menyerah kalah sebaliknya terus yakin untuk bangkit pada perlawanan seterusnya.

 

“Saya mohon maaf atas kekalahan malam ini (malam tadi) dan tidak tahu bagaimana untuk saya perkatakan kerana terlalu banyak kelemahan dan kesilapan mudah dilakukan pasukan seterusnya menjejaskan permainan.

 

“Walaupun permainan dilihat agresif pada babak kedua, pasukan masih gagal mendapatkan jaringan dan kita tidak menjangkakan semua ini berlaku lagi sekali.

 

“Selepas rombakan dibuat sebelum ini, kita jangka dapat tiga mata penuh pertama di halaman sendiri, tetapi masih gagal kerana permainan malam ini (malam tadi) dilihat lebih tertekan dan lemah,” katanya.

 

Bagaimanapun, Sathit berkata, pemain perlu diberi keyakinan dan motivasi pada aksi seterusnya bagi mengubat derita pasukan terutama buat penyokong setia The Red Warriors (TRW).

 

“Kita (pasukan) perlu belajar daripada kesilapan supaya tidak terus dijadikan pasukan belasahan kerana tiga kekalahan di rumah sendiri satu ujian yang berat buat pasukan.

 

“Saya percaya pasukan mampu bangkit pada perlawanan selepas ini dan dapat membuktikan sesuatu kepada penyokong dan demi menjaga nama baik pasukan,” katanya.

 

Pada aksi malam tadi, harapan penyokong Kelantan untuk melihat pasukan itu memperoleh kemenangan pertama di Kota Bharu, sekali lagi terkubur apabila giliran Selangor pula mengaibkan Kelantan dengan keputusan 2-0 malam tadi.

 

Kelantan dilihat lebih agresif pada babak kedua dan dapat mencipta beberapa peluang, masih gagal memecahkan benteng Selangor. Kekalahan Kelantan malam tadi, menjadikan skuad kendalian Zahasmi Ismail berada pada kedudukan ke-10 Liga Super di atas pasukan Felda United dan Pulau Pinang.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.