Tia Suka Cabaran

Meskipun perjalanan karier lakonannya baru bermula, bakat baru meningkat naik dari Thailand, Tia Tavee, 21, lebih dahulu dikenali di pentas peragaan.

 

Malah ketika berusia 16 tahun, gadis jelita berdarah kacukan Thailand dan Afrika Selatan ini pernah dinobatkan sebagai Miss Teen Thailand 2012.

 
Pada 2013 pula, Tia atau Tia Tavepanichpan pernah mewakili Thailand dalam program realiti TV, Asia Next Top Model musim kedua untuk ketengahkan bakatnya.

 

Seiring pakej dimiliki seperti tinggi lampai dan jelita, Tia kini mencuba nasib menceburi bidang lakonan.

 

Bertemu dengannya di Bangkok, Thailand baru-baru ini untuk promosi siri Halfworlds 2, Tia sangat meminati cabang seni lainnya dan sentiasa bersikap terbuka dalam mencari peluang untuk mengetengahkan bakatnya.

 

“Saya suka mencabar diri untuk membintangi Halfworlds 2 kerana sukar untuk saya lepaskan. Bagi saya, ia satu peluang keemasan yang datang pada masa sesuai.

 

“Apabila sudah minat, tiada alasan untuk tidak berusaha mencabar diri melakukan yang terbaik,” katanya.

 

Halfworlds 2 kini disiarkan di HBO, Tia melakonkan watak Juliet, seorang penyiasat kisah misteri. Disiarkan sebanyak lapan episod, siri original drama fantasi HBO Asia itu kini membawa penonton mengembara ke dunia makhluk ghaib di Thailand.

 

Bercerita mengenai kepercayaannya kepada makhluk ghaib, Tia berkata, dia lebih selesa dan senang dengan pemikiran positif.

 

Katanya, dia juga penggemar kisah seram dan tiada sebab menolak tawaran membintangi Halfworlds 2.

 

“Saya seorang daripada jutaan peminat filem adaptasi novel tulisan Stephenie Meyer, Twilight.

 

“Bagi saya suatu pengalaman baru dan menyeronokkan apabila mendapat peluang menyiasat misteri dunia makhluk ghaib.

 

“Ia ternyata satu pengalaman yang membuka mata saya untuk menjadi berani jika mahu meneroka rahsia alam lain,” katanya.

 

Yakin di Thailand juga ada banyak kisah mahkluk ghaib yang penuh misteri, Tia percaya dunia ini tidak dihuni oleh manusia saja.

 

Banyak babak bersama pelakon Peem Jaiyen yang melakonkan watak Fyter, keakraban mereka amat terserlah.

 

Ditanya pandangannya mengenai Peem, Tia akui sangat menyenangi pemuda itu dan tidak menyangka dapat memupuk keserasian dengan Peem sepanjang bekerja bersama.

 

“Hingga kini, hubungan persahabatan kami akhirnya jadi rapat. Saya dan Peem juga banyak berkongsi pendapat,” katanya.

 

Bagaimanapun, Tia akui masih terlalu muda untuk bercinta apabila diusik mengenai cinta lokasi yang mungkin berputik di antara mereka.

 

Katanya, hubungan dia dan Peem setakat ini hanyalah kawan baik apatah lagi fokus utama mereka adalah karier. Berpegang kepada prinsip tiada jalan singkat untuk menuju kejayaan, Tia akan terus berlakon dan terbabit dalam program TV selepas ini.

 

“Buat masa sekarang semuanya masih dalam perbincangan lanjut dan saya masih meneliti setiap tawaran yang datang sebelum membuat keputusan.

 

“Saya tidak mahu bersikap terburu-buru dan sentiasa yakin orang yang rajin akan berjaya,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.