Polis Tahan Warga Emas Hasut Orang Ramai Sertai Himpunan Berbasikal

JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga lelaki warga emas kerana membuat kenyataan jelik dan fitnah berhubung kemalangan remaja berbasikal baru-baru ini serta menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menerusi laman sosial Facebook.

 

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata mereka ditahan secara berasingan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan dua daripada mereka ditangkap malam tadi manakala seorang lagi awal pagi ini.

 

“Lelaki pertama berumur 65 tahun dipercayai individu bertanggungjawab membuat kenyataan jelik dan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan polis pada pukul 8 pagi semalam.

 

“Dia ditahan pukul 10 malam tadi di Ipoh, Perak selepas polis menerima satu laporan berkaitan penyalahgunaan laman sosial berkenaan pada pukul 8.28 pagi semalam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

 

Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil tangkapan itu, polis merampas dua kad sim dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan lelaki tersebut untuk membuat kenyataan jelik dan hasutan berkenaan menerusi Facebook.

 

Beliau berkata menerusi penahanan kedua dan ketiga pula, polis menahan lelaki berumur 61 dan 64 tahun, masing-masing di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor serta Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

 

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kedua-dua mereka dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada 18 Feb lepas. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.