Pemuda BN Persiap Jentera PRU14 Dalam Masa 3 Bulan

TANJONG KARANG – Pemuda Barisan Nasional (BN) diberi masa tiga bulan untuk mempersiapkan kesiagaan jentera Pemuda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.

 

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun mengeluarkan arahan untuk memulakan persiapan jentera parti susulan rakyat diselubungi mood pilihan raya.

 

Katanya, tempoh tiga bulan itu adalah bagi memastikan segala persiapan akhir menjelang PRU14 boleh terus diperkemaskan susulan gerak kerja yang telah mula dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.

 

Berikutan arahan pengerusi BN, katanya, beliau telah menggerakkan jentera Pemuda daripada sekarang, bermula dengan Pemuda BN Bahagian Tanjong Karang.

 

“Saya harap bahagian lain juga akan teruskan gerak kerja dekati pengundi khususnya golongan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Anak Muda Tanjong Karang, di sini, hari ini.

 

Perhimpunan lebih 1,000 penduduk tempatan itu turut disertai Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang.

 

Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy, yang jua Menteri Belia dan Sukan, berkata parti lawan hanya sekadar menghasut rakyat dengan memburuk-burukkan kerajaan malah tidak menjanjikan sebarang manfaat khususnya kepada golongan muda.

Katanya, pelbagai masalah pentadbiran negeri Selangor pimpinan pembangkang yang masih tidak selesai membuktikan parti lawan memang tidak bersedia membela nasib rakyat.

 

“Program TN50 (Transformasi Nasional 2050) diilham Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) contohnya, tidak hanya lihat masalah hari ini tapi ia menunjukkan BN janji bela nasib rakyat sehingga 30 tahun akan datang.

 

“Hanya BN mampu lakukannya dan kita (jentera BN) mesti ada pemikiran menang iaitu kerjasama erat Pemuda, Wanita dan Puteri dapat membawa perubahan besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.