Muhyidddin Akui Wujud Komplot Jatuhkan Najib

HULU SELANGOR – Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan pernah mengakui tentang kewujudan komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa, komplot itu memang pernah dilakukan namun beliau tidak menyatakan nama-nama individu yang turut terlibat.

 

Menurut beliau, komplot tersebut menggunakan beberapa isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu derma politik yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.

 

“Muhyiddin berada dalam Kabinet dan kesemua menteri beberapa kali diberikan taklimat mengenai 1MDB serta mempunyai peluang untuk bertanyakan mengenai syarikat ini. Tiada soalan daripada mereka, tetapi ada yang menguar-uarkan isu ini di luar,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Rakyat Negaraku Generasiku di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini malam ini.

 

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

 

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, tuduhan kononnya Najib mencuri duit rakyat juga tidak berasas memandangkan RM2.6 bilion yang digembar-gemburkan oleh pembangkang itu merupakan derma politik daripada penderma asing.

 

“Jika betul mahu mencuri duit rakyat, lebih baik beliau menyembunyikan duit tersebut di luar negara dan bukannya menyimpan di dalam bank tempatan yang boleh dilihat atau diakses oleh kakitangan bank berkenaan,” jelasnya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.