Mahathir, Muhyiddin Tak Senada Tentang PAS

Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-oleh tidak senada mengenai hubungannya dengan PAS.

 

Pada program anjuran BERSATU di Sungai Buloh malam tadi, Muhyiddin menekankan keperluan agar PAS bersama-sama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam menghadapi Barisan Nasional,tetapi Mahathir tidak bercakap mengenainya.

 

Muhyiddin dalam ucapannya percaya HARAPAN, BERSATU serta pemimpin-pemimpin PAS boleh mengetepikan perbezaan mereka dan sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

 

BERSATU katanya, telah memulakan rundingan dengan HARAPAN berhubung pembahagian kerusi.

 

“Kita dah mula menggerakkan usaha membincangkan bagaimana kerajaan baru ini harus dapat membentuk dengan dokongan rakyat.

 

“Kalaulah pimpinan-pimpinan yang mewakili Pakatan Harapan dan PPBM (BERSATU) dan termasuk juga PAS bersedia untuk mengetepikan apa-apa perbezaan sesama kita dan meletakkan sasaran kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, maka sasaran kita untuk berjaya dalam pilihan raya untuk memenuhi harapan rakyat Insha Allah akan terjadi dan termakbul.

 

“Maka saya kira tidak ada gunung setinggi mana pun yang tidak boleh kita daki asalkan kita ada azam dan iltizam yang kuat,” katanya.

 

Mahathir, dalam ucapannya kemudian bagaimanapun tidak menyentuh mengenai PAS.

 

Menyebut bahawa gabungan pembangkang sebelum ini gagal kerana parti-parti komponennya hanya berjuang untuk parti masing-masing, Mahathir berkata adalah penting bagi gabungan itu bersatu menghadapi BN.

 

“Walaupun kita mempunyai empat buah parti, tapi jika dicantum empat buah parti, dan kita tumpukan kepada satu sahaja matlamat, percayalah, kita akan dapat bersaing dengan BN,” ujarnya.

 

BERSATU, pada Disember tahun lepas menandatangani kerjasama dan perjanjian rangka kerja dengan HARAPAN yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

 

Sementara itu, berucap di hadapan kira-kira 1000 penyokong, Mahathir menegaskan majlis itu dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi dari parti yang berbeza.

 

Guna satu logo

 

Antara mereka yang hadir malam tadi ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Datuk Seri Azmin Ali dan ahli jawatankuasa AMANAH Khalid Samad.

 

“Memang benar perjuangan setiap parti amat penting. Tapi untuk kalahkan (Datuk Seri) Najib (Razak) kita perlu ketepikan perjuangan parti sebaliknya kita..(bersama) perjuangan untuk menjatuhkan Najib,” kata Mahathir.

 

Beliau juga mengulangi gesaan kepada pakatan pembangkang menggunakan hanya satu logo dalam pilihan raya umum.

 

“Fikirkanlah, kalau masih guna simbol masing-masing. Apabila nak undi, kita lihat macam-macam simbol, kita tak tahu mana nak pangkah. Bila kita tak tau, parti yang biasa pangkah, parti Najib la, dacing,” kata Mahathir merujuk kepada logo BN.

 
Ia adalah jelas bahawa Muhyidin cuba mendapatkan kerjasama PAS dalam gabungan yang terdiri daripada PAS, Pakatan Harapan dan Bersatu.

 

Ini terbukti apabila Muhyiddin dalam majlis-majlis PAS mengesahkan telah mengadakan rundingan dengan parti itu.

 

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua minggu lalu menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada pilihan raya umum akan datang selagi ia mengekalkan hubungan dengan DAP dan AMANAH.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.