Latihan Tentera Guna Alat Kesan Senjata Biologi, Kimia

 

SEOUL – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bakal menggunakan peralatan pengesanan terbaru untuk menyiapkan diri berdepan serangan senjata kimia dan biologi dalam latihan ketenteraan bersama dirancang tahun ini.

 

Sumber berkata hari ini, tindakan itu sebagai tindak balas dakwaan penggunaan agen saraf membawa maut VX oleh Pyongyang untuk membunuh Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

 

Kedua-dua sekutu itu sudah menjalankan latihan peperangan kimia dan biologi ‘Able Response’ setiap tahun sejak enam tahun lalu. Latihan ketenteraan itu dijalankan sejak Ulchi Freedom Guardian, atau latihan ketenteraan terbesar dunia antara Korea Selatan-AS memfokus menangani serangan Korea Utara. Pihak berkuasa di sini berkata, penggunaan VX menunjukkan Pyongyang berupaya membuat dan menghantar pelbagai senjata kimia dan biologi.

 

“Penekanan diberi terhadap menangani serangan VX, sarin, soman dan agen pelecur Lewisite,” kata sumber tentera.

 

Beliau berkata, Korea Selatan berpendapat lawannya itu memiliki simpanan meriam dan kepala peledak peluru berpandu dilengkapi agen kimia dan biologi yang boleh dihantar jika perlu.

 

Pakar berkata, senjata seperti itu boleh juga dihantar menggunakan pesawat. Katanya, sebagai sebahagian usaha menambah kesediaan, Seoul kini berunding dengan Washington supaya tentera AS boleh menjalankan latihan realistik menggunakan sistem pengesanan dan penyahtoksik paling maju. – The Korea Herald/Bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.