klia2 Diisytihar Selamat, Tiada Bahan Toksik

SEPANG, 26 Feb (Bernama) — Pihak berkuasa mengisytiharkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) adalah “tempat selamat” setelah pemeriksaan yang dilakukan awal hari ini mendapati tidak terdapat sebarang bahan toksik berikutan pembunuhan rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam, di situ, yang dikenal pastimenggunakan agen saraf VX.

 
“klia2 adalah tempat yang selamat,” isytihar Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat selepas operasi pemeriksaan dilakukan dari 1.45 pagi hingga 3 pagi oleh Jabatan Forensik Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

 
Analisis Jabatan Kimia mendapati agen saraf VX digunakan untuk membunuh Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang hidup secara terasing, di klia2 pada 13 Feb. Abdul Samah memberitahu sidang akhbar bahawa operasi itu meliputi “semua kawasan dan lokasi yang mempunyai kaitan dengan kes itu” dan mendapati klia2 bebas daripada sebarang pencemaran bahan berbahaya.

 
Katanya, opearsi dijalankan dari 1.45 hingga 3 pagi kerana tidak terdapat banyak orang di lapangan terbang berkenaan ketika itu dan pihak berkuasa tidak mahu menimbulkan sebarang suasana kecoh.

 

 

“Lebih mudah bagi kami menjalankan pemeriksaan apabila tidak banyak orang berada di situ,” kata Abdul Samah.

 
Ditanya kenapa pihak berkuasa hanya melakukan pemeriksaan itu setelah 13 hari berlaku pembunuhan tersebut, beliau berkata sebabnya ialah polis hanyamenerima laporan awal analisis mengenainya daripada Jabatan Kimia,  Jumaat lepas.

 
“Kami melakukan proses pemeriksaan ini setelah menerima keputusan daripada Jabatan Kimia,” katanya.

 
Beliau juga berkata semua staf Malaysia Airports Holdings Berhad dan anggota polis yang pernah bersentuhan dengan Jong-nam serta suspek kes pembunuhan itu telah menjalani pemeriksaan perubatan sebagai langkah berjaga-jaga.

 
“Kesemua mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan. Sekiranya mereka perlu membuat susulan (pemeriksaan), mereka perlu berbuat demikian,” katanya.

 

 

Jong-nam berada di klia2 pada 8 pagi 13 Feb kerana menunggu penerbangan ke Macau sejam kemudian apabila dua wanita secara tiba-tiba muncul di hadapannya lalu menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

 
Jong-nam kemudian meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana. Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Feb dengan pasport menggunakan nama Kim Chol.

 

Susulan itu, polis menangkap dua wanita – seorang menggunakan pasport Indonesia dan seorang lagi menggunakan pasport Vietnam – serta dua lelaki, seorang warganegara Malaysia dan seorang lagi warganegara Korea Utara.

 
Ditanya tentang risiko yang dihadapi mana-mana penumpang penerbangan yang bersentuhan dengan agen saraf itu pada 13 Feb, Abdul Samah berkata kesannnya sudah tentu telah diketahui lebih awal dulu.

 
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan daripada sesiapa berhubung kes itu,” katanya.

 

 

Ditanya tentang laporan bahawa seorang daripada wanita berkenaan muntah selepas kejadian itu, Abdul Samah berkata wanita itu muntah di dalam teksi ketika dalam perjalanan ke lokasi lain.

 
“Dia tidak muntah ketika berada dalam tahanan polis,” katanya. Mengenai suspek rakyat Korea Utara, Abdul Samah berkata, remannya dilanjutkan tujuh hari lagi, semalam.

 
Ditanya tentang sampel yang dilaporkan diambil polis di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, beliau berkata kondominium itu dipercayai disewa empat suspek berkenaan, yang meninggalkan negara ini pada hari pembunuhan itu berlaku. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.