Kit Siang Akui Sokong Najib, Perangi Berita Palsu

SHAH ALAM – DAP menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Naib Tun Abdul Razak berkaitan memerangi penyebaran berita palsu.

 

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, apa yang diperkatakan Najib dalam ucapannya malam tadi jelas, namun ia hanya berpaksi kepada menggulingkan kerajaan sahaja.

 

“Beliau minta rakyat bangkit bersama-sama melawan penyebaran berita palsu untuk menjatuhkan kerajaan sahaja. Tetapi bagaimana sebaliknya?

 

“Beliau pernah membuat tuduhan terhadap saya dalam ucapannya sebagai Presiden Umno pada persidangan Umno tahun lalu.

 

“Beliau menggelar saya penipu besar. Ada tiga perkara yang beliau gariskan dalam ucapan itu di mana, PRU14 adalah pertandingan antara Umno dan DAP sahaja. Kedua, DAP ini anti Melayu atau anti Islam. Ketiga Melayu akan menderita jika Umno kalah pada PRU14,” katanya yang dipetik daripada blognya limkitsiang.com pagi ini.

 

Kit Siang berkata, jika kerajaan mahu benar-benar perangi berita palsu, bukan hanya untuk mereka, tetapi kepada semua parti yang ada.

 

“Berita palsu ini tidak hanya oleh mereka yang ingin menggulingkan kerajaan tetapi juga untuk berpaut kepada kuasa walaupun mereka telah kehilangan kredibiliti dan kesahihan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, semalam DAP juga turut diserang oleh Pas dalam satu penyebaran berita palsu.

 

“Pas Selangor yang menyerahkan memorandum kepada Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menggesa Pas untuk memutuskan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

 

“Terdapat juga kain rentang untuk menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu serta menghina saya. Kain itu tertera wajah saya dengan label Musuh Melayu / Islam (perkauman),” katanya.

 

“Walaupun diungkapkan sebagai pandangan akar umbi Pas Selangor, tiada siapa yang ragu-ragu seluruh sandiwara majlis memorandum dan sepanduk adalah ‘karya’ Nasrudin sendiri,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.