Jihan Show Gementar Menanti Reaksi Peminat

BUKAN mudah untuk Jihan Muse berada di puncak kejayaan seperti hari ini. Jika tiada usaha dan kesabaran, pasti semuanya akan terbengkalai begitu sahaja.

 

Kini, melangkah setapak lagi ke hadapan, selebriti berusia 34 tahun ini bakal mengemudi program bual bicara dan sitkom, Jihan Show.

 

Menganggap sebagai percubaan, Jihan bagaimanapun bersyukur kerana dapat merealisasikan impiannya.

 

Bagi Jihan, memiliki program sendiri merupakan salah satu cita-citanya sejak awal pembabitan dalam bidang seni.

 

“Saya sebenarnya suka menonton talkshow, Ellen DeGeneres Show dan The Oprah Winfrey Show. Jauh di sudut hati, saya menyimpan angan-angan untuk menjadi seperti mereka.

 

“Malah, ada juga peminat bertanya, bila saya mahu buat program sendiri? Tapi, saya sedar belum layak lagi memandangkan pengalaman yang ada terlalu sedikit.

 

“Tapi, saya juga tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Alhamdulillah, inilah permulaan saya,” katanya.

 

Jihan Show turut menampilkan Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras sebagai pengacara bersama.

 

Mengulas lanjut, Jihan mengakui terharu dapat bergandingan dengan artis pujaannya, Amy Mastura.

 

“Amy adalah idola saya dan saya merupakan peminat tegar dia sejak berusia 11 tahun lagi.

 

“Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk bekerjasama dengan dia kerana saya takut dan belum bersedia.

 

“Alhamdulillah, bekerja dengan idola saya juga merupakan impian saya.

 

“Zara Zya dan Syuk pula adalah kawan baik. Saya suka berkongsi rezeki dengan kawan-kawan,” katanya.

 

Bahkan, pengacara popular Gegar Vaganza ini tidak bimbang sekiranya pengacara bersama dilihat lebih menyerlah daripadanya.

 

“Saya sebagai pengemudi tetapi pada masa sama, saya juga perlukan sokongan kawan-kawan. Tak adalah nanti saya rasa macam syok sendiri.

 

“Lagipun, semua pengacara ada tugas masing-masing,” katanya.

 

Menurut peserta Raja Lawak 3 ini, program 13 episod itu bakal mengupas pelbagai topik menarik dan terkini berkaitan golongan wanita tetapi dalam bentuk santai dan bersahaja.

 

Tambahnya, program realiti itu turut mengundang selebriti popular seperti Fahrin Ahmad, Hairul Azreen, Amar Baharin, Elly Mazlein, Tomok, Kamal Adli dan ramai lagi bagi merancakkan lagi sesi bual dan pertukaran pendapat,

 

“Saya dan team sangat mementingkan konsep dan content yang ada di dalam program.

 

“Biasanya, kita akan berbincang dalam memilih tajuk dan walaupun program ini mengenai wanita, kebanyakan tetamu jemputan saya adalah lelaki.

 

“Sebenarnya, kita mahu melihat apakah pandangan lelaki mengenai sesuatu perkara. Contohnya, cemburu. Apa yang penting, setiap tajuk mestilah sesuai dan relevan,” katanya.

 

Tambahnya, Jihan Show turut memaparkan sketsa pendek yang dibahagikan kepada tiga segmen bagi memberi lebih kefahaman kepada penonton.

 

Dalam pada itu, biarpun teruja, isteri kepada pelakon Ungku Hariz Faizal ini mengakui berdebar dan sedikit gusar dengan penerimaan peminat terhadap program tersebut.

 

Bagaimanapun, Jihan menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi demi melaksanakan tanggungjawab yang diberi.

 

“Saya gementar menanti reaksi peminat. Jadi, mahu lihat hasilnya dan bagaimana pula dengan penerimaan peminat.

 

“Lagipun, apabila nama saya sendiri digunakan sebagai nama program, sudah tentu ia menjadi tugas yang berat untuk digalas.

 

“Apa lagi ini adalah talkshow pertama sekali gus menjadi penanda aras saya pada masa depan,” katanya.

 

Jihan Show bakal menemui penonton setiap Khamis pada jam 9.30 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) mulai 2 Mac depan.

 

Sedia bergelar ibu

 

Sementara itu, Jihan bakal menyambut ulang tahun perkahwinan pertamanya pada 20 Mac ini.

 

“Alhamdulillah, rumah tangga saya berjalan dengan lancar. Sama-sama sibuk dengan kerja masing-masing. Jika ada masa terluang, kami akan pergi bercuti.

 

“Semuanya berjalan seperti biasa, mungkin kerana tak ada anak lagi,” katanya.

 

Pada masa sama, Jihan turut mengakui sudah bersedia untuk bergelar ibu pada bila-bila masa.

 

“Saya dan suami tidak pernah merancang tapi Tuhan yang rancang, jadi tunggu sajalah rezeki. Saya memang sudah bersedia mahu bergelar ibu,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.