Jalan Lingkaran Dalam lengang tanpa basikal

JOHOR BAHRU – Keadaan di sekitar Dataran Bandaraya, di sini dilihat terkawal tanpa sebarang kelibat kumpulan berbasikal yang dikatakan sentiasa aktif pada setiap hujung minggu.

 

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi, turut menyaksikan tiada sebarang aktiviti yang menjurus kepada satu perhimpunan yang dikatakan mahu diadakan seperti yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.

 

Selain itu, di kawasan awam berkenaan turut kelihatan beberapa anggota dan kenderaan polis yang melakukan rondaan untuk tujuan pencegahan jenayah.

 

Selain itu, keadaan laluan di Jalan Lingkaran Dalam yang didakwa sering menjadi litar lumba kepada kumpulan basikal berkenaan juga dilihat lengang tanpa sebarang aktiviti yang mencurigakan.

 

Terdahulu, pada hari sebelumnya, seramai tujuh remaja ditahan sepasukan polis kira-kira jam 9.10 pagi di kawasan berhampiran tempat awam tersebut kerana dipercayai mahu menyertai perhimpunan haram yang telah menjadi tular tersebut.

 

Bagaimanapun, kesemua remaja berusia 16 hingga 23 tahun tersebut telah dibebaskan beberapa jam selepas itu setelah menjalani siasatan dan menerima nasihat daripada pihak polis.

 

Untuk rekod, sebelum ini telah dilaporkan berlakunya satu kemalangan melibatkan lapan remaja maut manakala empat lagi cedera ketika sedang bermain basikal di kawasan berkenaan sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita kira-kira jam 3 pagi.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.