Hadiah Perpisahan Junsu

Berita gembira buat peminat Kim Junsu (JYJ) dan Im Chang Jung kerana mereka akan melancarkan lagu baru tidak lama lagi. Ia diumumkan agensi mewakili kumpulan Kpop popular JYJ, C-JeS Entertainment pada 23 Februari lalu.

 

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan, Junsu dan Chang Jung berkolaborasi merakam lagu baru bersama-sama. Bagaimanapun, mereka belum dapat memutuskan tarikh sesuai untuk lagu itu dilancarkan.

 
Banyak pihak memang menantikan produk kolaborasi mereka kerana Junsu dan Chang Jung dikenali dengan kemahiran vokal hebat. Kombinasi mereka berdua dikatakan mampu memberi keunikan tersendiri terutama dari segi tarikan dalam lagu.

 

Apatah lagi Junsu memang mahu meninggalkan hadiah buat peminat sebelum dia ‘hilang’ seketika daripada industri hiburan Korea. Kebanyakan peminat JYJ tahu Junsu baru saja tersenarai untuk menyertai perkhidmatan wajib tentera bersama-sama T.O.P dari Bigbang.

 

T.O.P dan Junsu tiba di Pusat Latihan Tentera Nonssan pada 9 Februari lalu. Pusat latihan itu terletak di wilayah Chungcheong.

 

Namun, walaupun mereka berdua mahu meneruskan proses pendaftaran secara senyap, beberapa peminat setia tiba-tiba saja muncul di lokasi itu dan cuba menghampiri mereka.

 

Ada lebih kurang 200 peminat berkumpul berhampiran kem tentera, membawa sepanduk dan poster bertulis ‘Stay Well!’, ‘We Will Wait For You, JunSu’ dan banyak lagi.

 

Bagaimanapun, kedua-dua sensasi Kpop itu tidak membalas sapaan peminat yang melambai bagi menunjukkan keseriusan dan tahap profesional mereka menyertai perkhidmatan tentera. Namun, dua jejaka ini mempunyai cara tersendiri untuk menambat hati peminat mereka.

 

Sebaik saja ada masa terluang, mereka memuat naik ucapan terima kasih dan selamat tinggal menerusi laman sosial Instagram ditujukan kepada peminat.

 

T.O.P menulis, dia hanya mahu pergi ke kem dengan senyap dan meminta maaf kepada peminat kerana tidak dapat membalas teguran mereka ketika di kem. Bagaimanapun, posting itu sudah dipadamkan.

 

Menurut Yibada, T.O.P dan Junsu hanya akan meluangkan masa selama empat minggu di pusat latihan asas ketenteraan di kem berkenaan.

 

Selepas latihan asas tamat, T.O.P akan meneruskan perkhidmatan tentera sebagai ejen khas di Jabatan Polis Metropolitan, Seoul.

 

Junsu pula akan ditugaskan sebagai pegawai polis di Agensi Polis Daerah Gyeonggi Nambu.

 

Menurut laporan lain, T.O.P ialah anggota Bigbang pertama yang menyertai khidmat tentera. G-Dragon dipercayai akan mendaftarkan diri tahun ini bersama-sama dengan Taeyang.

 

Selepas itu, Daesun pada 2018 dan Suengri pula dijangka mendaftarkan diri pada 2019.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.