Anuar Zain Alami Fobia Janji Konsert Mega Buat Peminat

 

ALOR GAJAH – Gara-gara pembatalan konsert anjuran Yonder Music pada bulan lalu, penyanyi tersohor Anuar Zain berdepan fobia untuk menjanjikan persembahan mega buat peminat kesayangannya.

 

Annuar mengakui telah mengalami tekanan dan kemurungan teruk selepas Konsert Yonder Music Live Series By The Lake: Anuar Zain & You yang dijadualkan pada 21 Januari di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur lalu terpaksa dibatalkan disebabkan masalah kesihatan, lapor Kosmo.

 

“Sehari sebelum konsert saya tiba-tiba hilang suara kerana menghidapi penyakit Laryngitis, sejenis penyakit melibatkan kotak suara dan dinasihati dua doktor pakar untuk tidak meneruskan konsert tersebut.

 

“Pembatalan konsert itu memberi tekanan hebat sehingga saya menjadi murung dan fobia untuk menjanjikan konsert seterusnya kepada peminat,” katanya ketika ditemui pada sesi jelajah Anuar Zain Album Tour 2017 di Mydin Pulau Sebang.

 

Tambah Anuar dia sebenarnya berhasrat mengadakan tiga buah konsert mega sepanjang tahun 2017 termasuk di Singapura, namun perancangan itu masih dalam perbincangan gara-gara masih trauma dengan insiden sebelum ini.

 

Jelas penyanyi berusia 47 tahun itu, kesihatannya kini beransur pulih kira-kira 80 peratus hasil rawatan dan dorongan keluarga, pihak pengurusan, rakan-rakan serta peminat yang mendoakannya.

 

Pada program tersebut, Anuar sempat menyanyikan empat buat lagu iaitu Kau Bunga Cintaku, Kembali, Andainya Takdir dan Cinta Tak Akan Berakhir untuk menghiburkan kira-kira 2,000 peminat yang hadir.

 

Bersempena program tersebut, Anuar dijangka menemui peminatnya di tiga lokasi Mydin di Sarawak dan dua lagi di Semenanjung dari 5 Mac sehingga 30 April nanti.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.