Ustaz Kazim Terharu Tonton Rakaman Ceramah Agama Disiarkan Semula Di Kaca TV

IPOH – Pendakwah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias atau dikenali sebagai Ustaz Kazim, mengalirkan air mata melihat rakaman videonya berceramah di kaca televisyen.

 

Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias, berkata Kazim sayu melihat rakaman semula satu program yang disertainya kira-kira dua tahun lalu.

 

“Malam tadi dia mengalirkan air mata apabila melihat dirinya berceramah di program Forum Perdana.

 

“Barangkali dia sedih dan hatinya melonjak-lonjak mahu aktif berceramah semula, selain rindu bertemu dengan semua untuk berkongsi ilmu,” katanya pada sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di sini sebentar tadi.

 

Najmuddin berkata, selepas 40 jam pembedahan kedua oleh pakar dari pihak Hospital Pakar KPJ-ISH Ipoh, tahap kesihatan adiknya menunjukkan perkembangan positif.

 

“Dia sudah mula diajar dan dipimpin untuk berjalan oleh isteri dan kakitangan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

 

“Selepas dipimpin berjalan, dia mengadu penat, namun doktor memaklumkan itu reaksi peringkat awal dan beliau semakin pulih.

 

“Ini adalah hasil doa semua di seluruh negara,” katanya.

 

Najmuddin turut meluahkan kekesalan Kazim dan anggota keluarga terhadap maklum balas negatif segelintir pihak di laman sosial.

 

“Ada juga yang tidak henti-henti memberi komen negatif dan mengutuk ketika sakit, hingga ada yang memberi komen kononnya semua ini adalah balasan kerana bersekongkol dengan kerajaan.

 

“Sebagai orang Islam, tanggungjawab kita adalah berdoa supaya beliau sembuh supaya boleh berdakwah semula, bukan melemparkan caci maki atau kata nista,” katanya.

 

Najmuddin berkata, berita berkenaan perkembangan Kazim di media massa bukan bertujuan meraih publisiti tetapi memenuhi permintaan ramai yang mahukan berita sahih, lebih-lebih lagi dalam keadaan tidak dapat berjumpa atau melawat pendakwah itu. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.