Selangor Rekod Lokaliti Aktif Denggi Terbanyak Di Negara

KUALA LUMPUR – Selangor merekodkan lokaliti aktif atau hot spot denggi tertinggi di negara ini.

 

Sebanyak 174 atau 64 peratus daripada 274 lokaliti aktif di seluruh negara sehingga 20 Feb lalu adalah di negeri itu.

 

Ini diikuti Johor (66), Terengganu (10), Pulau Pinang (tujuh), Sabah (enam), Putrajaya, Kuala Lumpur dan Perak (masing-masing empat), Negeri Sembilan (dua) dan Sarawak (satu), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam blognya.

 

Sementara itu, mengikut laman sesawang kementerian itu, iDengue, antara kawasan hot spot di Selangor ialah di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Gombak.

 

Mengulas perkara itu, Ketua Sektor Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin, berkata Selangor mempunyai lokaliti aktif terbanyak kerana didorong kepadatan penduduk dan kegagalan menjaga kebersihan di tempat-tempat risiko termasuk kawasan kediaman, tapak binaan dan kawasan tumpuan awam seperti taman rekreasi.

 

Sementara itu di GEORGE TOWN, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata sistem penggredan rumah akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kediaman yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

 

“Rumah yang didapati tiada tempat pembiakan jentik-jentik akan diberi gred A, gred B bagi yang ada satu tempat pembiakan manakala gred C untuk yang ada dua tempat pembiakan jentik-jentik.

 

“Bagi rumah yang mempunyai lebih daripada dua tempat pembiakan jentik-jentik akan diberi gred D dan gred E bagi rumah yang didapati ada jentik-jentik peringkat pupa,” katanya pada sidang akhbar, Jumaat.

 

Dr Afif berkata kerajaan negeri juga telah melakukan pelbagai inisiatif antaranya mengadakan taklimat untuk semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), di samping akan melibatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan askar untuk membantu mencegah denggi.

 

“Koordinasi akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri yang akan melibatkan usaha, promosi serta pemeriksaan berkala dari rumah ke rumah dan juga taman-taman,” katanya.

 

Di ALOR SETAR, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata sebanyak 17 kes demam denggi dan satu kematian dicatatkan di negeri ini bagi tempoh 14 hingga 20 Feb lepas.

 

Beliau berkata ini merupakan peningkatan kes sebanyak 70 peratus berbanding minggu keenam pada 7 hingga 13 Feb lepas.

 

Satu kes kematian akibat denggi itu membabitkan seorang wanita berumur 65 tahun dari Taman Sri Putra, Sungai Petani yang meninggal dunia pada 19 Feb, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dr Norhizan berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Feb lepas, statistik menunjukkan jumlah kes demam denggi mencatatkan peningkatan di daerah Baling, Kuala Muda dan Pendang manakala daerah lain mencatatkan penurunan, sementara sifar kes di Sik dan Langkawi.

 

Katanya sebanyak 341 kompaun dengan nilai RM170,500 telah dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 62 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

 

Di KANGAR, tiada kes demam denggi/demam denggi berdarah direkodkan di Perlis sepanjang minggu ketujuh dari 14 sehingga 20 Feb lepas.

 

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin berkata secara kumulatif sehingga minggu ketujuh tahun ini, jumlah kes demam denggi/demam denggi berdarah adalah sebanyak 43 kes iaitu penurunan sebanyak 38 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.

 

Daripada 568 tempat yang diperiksa bagi pembiakan aedes di 16 kawasan di seluruh negeri, enam premis didapati positif pembiakan aedes, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata tiga kawasan turut dikenal pasti mempunyai indeks pembiakan aedes yang tinggi dan berpotensi berlaku wabak demam denggi iaitu Projek Perumahan Rakyat (RPA) di sini, Taman Emas di Beseri dan Felda Mata Ayer di Titi Tinggi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.