Nasib Muhyiddin Ditentukan MT Hari Ini

KUALA LUMPUR – Nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno dijangka akan diketahui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.

 

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selaku Ahli MT berkata, beliau akan mengemukakan usul agar Muhyiddin digantung sebagai Timbalan Presiden Umno.

 

“Saya akan memberitahu jawatankuasa disiplin parti di atas perbuatan Muhyiddin yang tidak menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Umno.

 

“Saya harap akan dapat sokongan dan kalau beliau dihadapkan ke majlis jawatankuasa disiplin, saya minta hukuman jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden digantung,” katanya.

 

Katanya, beliau akan mengikut semua proses dan prosedur yang  ditetapkan oleh parti bagi memastikan Muhyiddin dikenakan hukuman.

 

“Saya akan ikut prosedur. Sebelum hadapkan beliau ke jawatankuasa disiplin, pertamanya perlu ada aduan rasmi.

 

“Saya akan kemukakan aduan rasmi itu. Kemudiannya mungkin jawatan kuasa disiplin akan mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk beliau membela diri,” katanya.

 

Bagaimanapun menurut Nazri, MT mempunyai kuasa penuh untuk mengetepikan semua prosedur itu.

 

Ketika ditanya adakah ahli MT lain akan menyuarakan usul sama, katanya, jika dilihat daripadda laporan yang dikeluarkan, ramai yang bersetuju Muhyiddin dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.-SuaraTV

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.