Australia Keluar Amaran Ancaman Pengganas Di Indonesia

SYDNEY – Australia semalam mengeluarkan a­maran bahawa kumpulan-kumpulan pengganas dipercayai berada “di peringkat akhir untuk melancarkan serangan” di Indonesia dan menasihati pelancong supaya berwaspada, beberapa hari selepas amaran serupa dike­luarkan terhadap Malaysia.

 

“Beberapa petunjuk baru-baru ini mendapati kumpulan pengganas melakukan persiapan terakhir untuk melancarkan sera­ngan di Indonesia.

 

“Kami menasihati anda agar berwaspada ketika berada di Indonesia termasuk Jakarta, Bali dan Lombok berikutan ancaman serangan pengganas,” kata Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdaga­ngan (DFAT) dalam satu nasihat perjalanan yang dikemas kini.

 

Amaran itu tidak me­ningkatkan tahap ancaman keseluruhan kekal di peringkat “waspada.” DFAT berterusan menerima maklumat yang menunjukkan pengganas sememangnya berniat untuk menyerang Indonesia. Serangan itu, kata DFAT, boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa di negara itu.

 

Notis tersebut me­ngingatkan pelancong agar lebih berhati-hati khususnya di kawasan yang mempunyai kawalan keselamatan rendah dan lokasi yang pernah menjadi sasaran pengganas sebelum ini seperti kelab malam, bar, kafe, restoran, hotel antarabangsa, lapangan terbang dan rumah ibadat.

 

“Kerajaan Indonesia baru-baru ini telah meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara itu. Langkah tersebut membayangkan kemungkinan besar serangan pengganas,” tambah DFAT.

 

Pada Ahad lalu, DFAT mengeluarkan amaran kemungkinan serangan pengganas di sekitar Kuala Lumpur yang mungkin dilakukan secara rambang atau menyasarkan kepen­tingan Barat atau lokasi sering dilawati oleh warga Barat. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.