Amanah kata Pas sudah gugup lawan BN

KOTA BHARU – Dakwaan kelahiran Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai ‘kacau daun’ cukup membuktikan Pas tidak yakin mampu menentang BN secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke 14 untuk mempertahankan Kelantan.

 

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, parti itu tidak diwujudkan sekadar untuk ‘kacau daun’ dalam politik seperti yang didakwa Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, apa lagi untuk memberi peluang kepada BN memerintah Kelantan.

 

Menurutnya, Amanah telah memberi komitmen yang jelas untuk bersama pakatan pembangkang dalam Pakatan Harapan bagi menggantikan BN dalam PRU 14 nanti.

 

“Jika Mohd Amar berasa tidak yakin kemampuan Pas untuk pertahankan Kerajaan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN, beliau sebagai Naib Presiden Pas boleh mengemukakan cadangan supaya mereka bersama Pakatan Harapan untuk menghadapi cabaran ini.

 

“Sebagai seorang timbalan menteri besar, saya yakin beliau boleh mempengaruhi pemimpin Pas yang lain demi menyelamatkan Kelantan dan menentang BN. Pas perlu bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain,” katanya.

 

Baru-baru ini, Mohd Amar juga menganggap parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan itu tidak mampu bertahan lama apatah lagi mempunyai kuasa untuk merampas Kelantan daripada Pas.

 

Selar Che Ibrahim, jika Mohd Amar mengakui tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan dalam politik Pas terutama dalam isu bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, atas asas apakah pula beliau boleh meramalkan masa depan politik Amanah.

 

“Saya yakin jika Pas bersedia mencari titik persamaan bagi mewujudkan persepakatan yang kukuh antara parti pembangkang untuk menentang BN, bukan sahaja Kelantan dapat diselamatkan daripada jatuh ke tangan BN dalam PRU 14 nanti, bahkan kedudukan BN di peringkat pusat pun akan goyah,” katanya.

 

Malangnya, bagi Che Ibrahim, Pas setakat hari ini masih lagi bersikap ‘tidak mesra’ atau anti pakatan pembangkang.

 

Bagi Amanah, sikap Pas sebegitulah yang memberi ruang kepada Umno dan BN untuk meletakkan mereka dalam keadaan yang selesa walaupun sedang bergolak dengan perbagai masalah rakyat dan negara. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.