Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Rumah Di Pasir Mas

Pasir Mas – Seorang warga emas rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya, di Kampung Jenereh, Meranti hari ini.

 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan I El Taraff Mohammed Zachariah berkata ketika kejadian mangsa yang juga bekas Imam Masjid Mukim Perol, Jaafar Yusof, 80, tinggal bersama isterinya.

 

“Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu isteri mangsa Zijah Abdul Rahman, 65, berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan jiran.

 

“Anak lelaki mangsa yang baru pulang dari menjemput anaknya dari sekolah cuba memasuki rumah bagi menyelamatkan ayahnya tetapi dihalang beberapa jiran kerana ketika itu api sedang marak,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

El Taraff berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 12.58 tengah hari.

 

“Ketika kami tiba, hampir 80% rumah hangus. Kami cuba mengesan mangsa selepas diberitahu ada mangsa terperangkap. Kami akhirnya menemui mangsa yang rentung di bahagian ruang tamu rumah berhampiran sofa tempat mangsa biasa berehat,” katanya.

 

12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Rantau Panjang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

 

Anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan warga emas atau orang kurang upaya bersendirian di rumah bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

 

Sementara itu, anggota keluarga mangsa enggan memberi komen mengenai kejadian kerana masih terkejut dan bersedih dengan tragedi itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.