Video Ugutan Bunuh Khalid Perlu Dipandang Serius – Bekas Panglima Tentera

KUALA LUMPUR – Pelbagai reaksi dilontarkan orang ramai susulan video ugutan bunuh ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang di muat naik di laman sosial.

 

Walaupun Khalid berkata beliau tidak gentar dengan perkara ini namun Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Bersara, Datuk Seri Zaini Mohd Said menjelaskan perkara ini tidak patut dipandang enteng kerana ia boleh menggugat kesejahteraan negara.

 

“Saya rasa video seperti ini di laman sosial adalah satu perkara yang perlu dipandang serius. Ini adalah kerana ia menggalakkan kepada satu pemikiran yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

 

“Jika ini dibiarkan, maka ia seperti memberi gambaran kepada umum dan juga kepada orang luar bahawa negara kita bukan dalam keadaan yang selamat di mana pegawai-pegawai tinggi khususnya pegawai yang menjaga keselamatan boleh diancam nyawa dengan sesuka hati,” jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

 

Beliau berkata ini boleh memberi tanggapan ketidakyakinan terhadap kedudukan atau tahap keselamatan orang ramai.

 

“Jika ketua polis sendiri boleh diancam, bagaimana dengan rakyat biasa?” soal Zaini.

 

Video ugutan bunuh Tan Sri Khalid berkait dengan militan IS?

 

Ada juga dalam kalangan masyarakat melihat video ugutan bunuh ini berkait dengan strategi militan IS.

 

“Ada yang mengatakan bahawa ia ada kaitan dengan perbuatan militan IS dan sebagainya. Mungkin ada kait mengait dengan IS. Tetapi mereka (kumpulan memuat naik video) ini pada saya, adalah satu kumpulan anarki yang sengaja menimbulkan huru-hara,” jelas Zaini.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.