Mayat Anggota Geng 24 Ditemui

Alor Setar – Mayat lelaki yang ditemui di kawasan Hutan Simpan, Pedu di Padang Terap semalam dipercayai salah seorang anggota kongsi gelap Geng 24 yang diburu polis bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri di Perak bulan lalu.

 

Mayat mangsa yang disahkan hari ini ialah Ong Teik Beng yang memegang kad pengenalan 890401-07-5781 dan beralamat BL9K 3-3-14 Lintang Bayan 8, Seri Delima, Sungai Ara, 11900, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Mangsa dipercayai maut akibat dikelar di leher dengan objek tajam dan mayatnya dipercayai ditanam di kawasan berkenaan kira-kira lima hari yang lalu.

 

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, mangsa yang ditemukan ditanam di Hutan Simpan, Pedu semalam itu mungkin salah seorang anggota Geng 24 yang diburu polis.

 

“Berdasarkan nama dan alamat, mangsa dipercayai ada persamaan dengan orang yang dikehendaki polis berhubung kes tersebut.

 

“Bagaimanapun polis masih menyiasat sama ada mangsa terlibat,” katanya.

 

Sebelum ini, pada sidang akhbar 23 Febuari lalu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor dilaporkan berkata, empat anggota kongsi gelap Geng 24 diburu polis bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditemui rentung berhampiran sebuah pusat peranginan di Lumut, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.