Mat Sabu Tidak Akan Terlepas Dari Siasatan – Mustafa Ali

Shah Alam – Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberi jaminan bahawa Mohamad Sabu tetap akan dipanggil oleh Jawatankuasa Khas Siasatan parti bagi memberi keterangan berhubung penglibatannya dalam gerakan menggulingkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Mustafa berkata, tidak timbul persoalan timbalan presiden parti itu, bakal ‘terlepas’ daripada disiasat berhubung perkara berkenaan.

 

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu hari ini memberitahu beliau akan memberikan penjelasan bersabit dakwaan dirinya cuba menjatuhkan Hadi, hanya jika diminta berbuat demikian.

 

Beliau juga bertegas mahu menjelaskan perkara itu kepada Hadi sendiri.

 

Mustafa semalam memberitahu Mat Sabu dan seorang lagi pemimpin kanan PAS, Dr Hatta Ramli akan disiasat dalam masa terdekat.

 

Dr Hatta juga didakwa atas tuduhan yang sama, untuk menjatuhkan Hadi.

 

“Akan diminta (memberi keterangan).. dua-dua pihak, yang menuduh dan yang kena tuduh,” ujar beliau ketika dihubungi Antarapos.

 

Mat Sabu, baru-baru menjadi perhatian berikutan pendedahan satu rakaman audio mirip suaranya oleh satu laman Facebook, Tuc Tok Usin Ceroi (Pemburu jebon), yang mana ia didakwa sebagai taklimat beliau untuk menggulingkan Hadi.

 

Dalam rakaman audio berdurasi 2 minit 10 saat itu, Mat Sabu dikatakan membuat pertemuan dengan beberapa pemimpin PAS peringkat kawasan untuk memberi penjelasan dan sebagai satu cara ‘serangan balas’.

 

“Secara umumnya presiden dianggap ulama hebat dan maksum perlu di’deny’ (nafikan),” kata suara rakaman yang mirip suara pemimpin berkenaan.

 

Mustafa memberitahu, pihaknya masih belum memutuskan tarikh sebenar untuk kedua-dua pihak dipanggil bagi memberikan penjelasan.

 

“Secara tepat, tak boleh nak kata. Bila-bila nanti bila masing-masing senang, ada masa yang terluang, kita tengoklah masa yang sesuai,” katanya.

 

Mustafa juga mengesahkan jawatankuasa yang bertanggungjawab mengadili dakwaan itu sudahpun ditubuhkan, namun beliau enggan mendedahkan panel anggotanya buat masa ini. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.