Liga Juara-Juara: Monaco Kejutkan Arsenal 3-1

LONDON – Penyerang veteran, Dimitar Berbatov mempamerkan sentuhan berbisanya ketika mencetuskan kemenangan 3-1 Monaco ke atas Arsenal awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan peluang untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam 11 tahun.

 

Kekalahan mengejut Arsenal itu di tangan kelab kurang ternama yang masih bersaing dalam kejohanan berkenaan dan dihimpit dengan kecederaan, berjaya memastikan anak buah Arsene Wenger dirundung derita ketika menentang bekas kelab bimbingannya.

 

“Tiada sesiapa yang fikir keputusan ini akan berlaku tapi kami berjaya melakukannya,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

 

Monaco langsung tidak berupaya menjaringkan gol dalam babak pertama perlawanan sebelum ini tetapi mengejutkan penyokong tuan rumah di Stadium Emirates apabila mendahului 1-0 pada minit ke-38.

 

Geoffrey Kondogbia menghukum penjaga gol, David Ospina dengan rembatan yang mengelirukan.

 

Selepas itu, Monaco menambah derita Arsenal lapan minit selepas wisel babak kedua bermula, dengan serangan balas menerusi Berbatov menghasilkan gol kedua pada minit ke-53.

 

Alex Oxlade-Chamberlain kemudiannya merapatkan jurang hasil rembatan cantik pada minit terakhir perlawanan bagi memberi sedikit kelegaan sebelum beraksi pada peringkat kedua 17 Mac nanti.

 

Namun Monaco tidak berdiam diri apabila bermain habis-habisan dan akhirnya Yannick Ferreira-Carrasco menjaringkan gol ketiga kelab itu.

 

“Gol kedua dan ketiga, kami seperti bunuh diri. Kami seperti hilang keberanian dan kerasionalan di atas padang,” kata Wenger.

 

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan, Bayer Leverkusen menang 1-0 ke atas Atletico Madrid yang bermain dengan 10 orang di Jerman. – AP / BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.