Jawairiah Wakil Tunggal Negara Dalam Terbuka Malaysia 2015

Kuala Lumpur – Pemain wanita negara, Jawairiah Noordin akan mewakili Malaysia dalam undian utama Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor, pada 2 hingga 8 Mac ini.

 

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang berusia 24 tahun itu, akan beraksi dalam acara perseorangan serta akan memilih gandingannya dalam acara beregu.

 

Menurut kenyataan pihak penganjur hari ini, Jawairiah meraih tempat dalam undian utama, selepas memenangi Sirkit Masters Kebangsaan BMW, pada November lalu.

 

Jawairiah yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN ke-17 di Palembang, Indonesia, tahun lalu, membuat penampilan sulung pada Terbuka Malaysia 2010, menerusi acara beregu bersama pemain Vietnam, Huỳnh Phương Đài Trang.

 

Bagaimanapun, pasangan itu tewas dalam pusingan pertama kepada gandingan Vitalia Diatchenko (Rusia) dan Chanelle Scheepers (Afrika Selatan).

 

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, S. Theiviya, 21, mendapat tiket wildcard untuk beraksi dalam pusingan kelayakan acara perseorangan.

 

Tahun lalu, wakil tunggal negara dalam undian utama, Aslyssa Boey, gagal melepasi pusingan pertama.

 

Kejohanan yang diiktiraf Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) itu, menawarkan jumlah hadiah wang tunai US$250,000 (RM911,750).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.