Diskriminasi Wanita Bertudung

WASHINGTON – Kisah seorang wanita Islam yang tidak ditawarkan pekerjaan hanya kerana memakai tudung dibawa ke mahkamah persekutuan tertinggi di Amerika Syarikat, semalam.

 

Dakwaan diskriminasi bagi pihak Samantha Elauf dikemukakan ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat menerusi Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC).

 

Menurut dakwaan EEOC, Elauf tidak ditawar pekerjaan di syarikat pakaian Abercrombie & Fitch kerana diskriminasi agama berdasarkan kod pakaian syarikat itu.

 

Elauf hanya 17 tahun apabila memohon bekerja sebagai penjual di kedai Abercrombie Kids di Tulsa, Oklahoma pada 2008.

 

Namun penolong pengurus kedai itu yang menemuramahnya bimbang dengan pemakaian tudung oleh Elauf, walaupun kagum dengannya.

 

Penolong pengurus itu turut memberitahu Elauf tidak mendapat bekerja di situ kerana beliau bertudung.

 

Syarikat itu terkenal dengan ‘gaya Abercrombie’ bagi setiap pekerjanya dan menurut kod pakaian, mereka tidak boleh memakai topi atau pakaian warna hitam tetapi tudung tidak dilarang semata-mata.

 

Ketika pendengaran sejam di Mahkamah Agung semalam, lapan daripada sembilan hakim seolah memihak kepada Elauf.

 

“Elauf tidak diberi tawaran kerja hanya kerana kepercayaan agamanya.

 

“Perlukah setiap calon menyatakan, ‘Saya berpakaian seperti ini kerana agama saya’?” kata Hakim Samuel Alito.

 

Sementara itu, Ketua Hakim John Roberts mencadangkan Abercrombie dapat memberi pengecualian bagi amalan agama.

 

Kes ini mendapat perhatian luas oleh media negara itu dan Elauf juga mendapat sokongan beberapa kumpulan agama lain.

 

Sementara itu, Elauf dalam satu kenyataan berkata, beliau berterima kasih kepada EEOC kerana membawa kes diskriminasi ini ke mahkamah.

 

“Kes ini bukan sahaja untuk saya sendiri tetapi bagi pihak semua orang yang ingin bebas mengamalkan agama masing-masing ketika bekerja.

 

“Amalan agama saya tidak sepatutnya menjadi penghalang daripada mendapat pekerjaan,” katanya.

 

Sebelum ini, EEOC mengemukakan saman diskriminasi di mahkamah rendah dan Abercrombie diarah membayar pampasan AS$20,000 (RM71,821).

 

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan di Denver, Colorado pada 2013 atas sebab Elauf tidak meminta pengecualian daripada kod pakaian kerana isu keagamaan.

 

Keputusan Mahkamah Agung akan dikemukakan sebelum akhir Jun ini. – Agensi / HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.