Chempaka Bakal Wujudkan Kerajaan Campuran BN – PAS

Kuala Lumpur – Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk tidak meletakkan calon Barisan Nasional (BN) bertanding dengan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka disifatkan sebagai satu usaha positif mewujudkan kerjasama lebih erat antara PAS dan UMNO di negeri itu.

 

Penganalisis Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan BN sedang menimbangkan beberapa faktor lain yang menyebabkan mereka tidak bertanding dalam PRK tersebut.

 

“Saya tidak menolak kemungkinan, ini antara usaha BN untuk membuka jalan dalam usaha membentuk kerajaan campuran seperti mana khabar angin sebelum ini.

 

“Ia secara tidak langsung boleh meredakan apa jenis persengketaan antara pihak lawan dan usaha kearah kerjasama yang lebih luas dan terjamin.

 

“Namun, sepertimana yang kita tahu, Kerajaan Persekutuan antara lain ingin memfokuskan kepada bantuan banjir yang melanda negeri berkenaan selain menghormati bekas Menteri Besar Kelantan (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian UMNO untuk tidak meletakkan mana-mana calon untuk bertanding di PRK DUN N06 yang akan diadakan pada 22 Mac nanti.

 

Kerusi DUN Chempaka kosong selepas penyandangnya, Mursyidul Am PAS iaitu Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

 

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Atory menyatakan keputusan BN atau mana-mana individu untuk tidak bertanding adalah tepat memandangkan kawasan berkenaan merupakan kubu kuat PAS.

 

“Kalau letak calon BN sekalipun, pada logiknya tetap akan kalah meskipun kemungkinan jumlah undi akan bertambah.

 

“PAS akan tetap pegang DUN Chempaka. Kalau ada calon bebas sekalipun, ia hanya menyebabkan calon itu hilang wang pertaruhan sahaja,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.