S’gor Gagal Manfaat Kelebihan Beraksi Di Halaman Sendiri

KUALA LUMPUR, ) — Pasukan Selangor gagal memanfaat kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas terikat 1-1 ketika berdepan wakil Indonesia Arema Cronus pada perlawanan pembukaan Kumpulan F, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Pada perlawanan itu skuad ‘Gergasi Merah’ terlebih dahulu berada di depan pada minit kesembilan hasil jaringan penyerang import dari Brazil Paulo Rangel yang menyudahkan hantaran daripada Andik Vermansah.

Pasukan pelawat kendalian Suharno bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten pasukan Ahmad Bustomi yang mengambil sepakan percuma pada minit ke-72 dan berjaya menewaskan penjaga gol Selangor Mohd Hamsani Ahmad.

Kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mencari gol kedua namun kekebalan benteng pertahanan masing-masing menyaksikan mereka berkongsi satu mata.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ketua Jurulatih Selangor Mehmet Durakovic berkata beliau berpuas hati dengan keputusan meskipun anak didiknya mempunyai banyak peluang untuk menyumbat gol terutama pada separuh masa kedua.

Berkongsi pandangan sama ialah Suharno yang memuji semangat juang pemainnya.

“Bagi saya, satu mata yang kita kutip pada perlawanan malam ini sudah memadai namun kita mampu menang sekiranya para pemain menyempurnakan peluang menjaringkan gol,” katanya.

Dalam pada itu, Bustomi nyata gembira kerana berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk membolehkan mereka membawa pulang satu mata.

“Gol yang saya jaringkan itu amat bermakna untuk pasukan dan saya gembira pasukan kita mampu membawa pulang satu gol dan saya harap kita mampu menang perlawanan kedua selepas ini,” katanya.

Sementara itu, wakil Vietnam Hanoi T&T menduduki tangga teratas Kumpulan F selepas mencatat kemenangan selesa 5-1 ke atas Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives di Stadium Hang Day, Hanoi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.