Kefahaman Kassim Ahmad Bercanggah Dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah

PUTRAJAYA – Pengerusi Institut Wasatiyyah (IWM), Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin menyifatkan kefahaman bekas aktivis politik, Dr. Kassim Ahmad yang mempersendakan tentang hadis Nabi Muhammad S.A.W adalah sangat bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

Abdullah memberitahu, sudah jelas di dalam Islam sumber utama menjadi pegangan umat Islam adalah Al-Quran dan Sunnah juga Ijma’ serta Qias.

Justeru, ia sudah lengkap bagi memberikan panduan dan laluan yang benar buat umat Islam untuk menjalani kehidupan dan beribadah di negara ini.

“Isu Kassim Ahmad ini, ia sangat becanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana, sumber utama hukum dalam Islam adalah Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias. Itu adalah sumber yang cukup jelas dipegang teguh oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Al-Quran dan Sunnah satu pegangan yang lengkap dan melengkapi. Nabi Muhammad sendiri menjelaskan dalam hadisnya, ‘Aku sendiri meninggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tak akan sesat selamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku,” kata Abdullah yang mengulas isu Kassim Ahmad, di Putrajaya semalam.

Kassim Ahmad dalam satu seminar memberikan ceramahnya bertajuk “Hala Tuju Malaysia dalam masa 30 Tahun” yang diadakan di Putrajaya dilaporkan menuduh ulama mengawal Islam di Malaysia menggunakan sistem kasta paderi.

Selain itu, Kassim juga mempersoalkan penggunaan hadis dalam menjelaskan ajaran Al-Quran dan mengatakan salah bagi umat Islam mendewakan Nabi Muhammad kerana “baginda hanya pesuruh ALLAH”.

Beliau turut mempersoalkan pemakaian tudung oleh wanita Islam, mengatakan “rambut bukannya sebahagian daripada aurat”.

Mengulas mengenai sesetengah pihak yang mahu berdebat dengan Kassim Ahmad bagi menyelesaikan isu tersebut, Abdullah berpendapat perdebatan yang diadakan tidak dapat menyelesaikan masalah.

Ini kerana, seseorang itu akan tetap berpegang teguh dengan idea dan pendapatnya walaupun ia terang-terangan sudah salah dan tidak benar.

“Sebenarnya, pada saya, berdebat tidak dapat selesaikan masalah. Ini kerana, seseorang itu akan tetap pertahankan ideanya, akan tetap tegakkan benang yang basah.

“Jadi, dalam isu Kassim Ahmad, sudah jelas ia adalah salah. Kalau nak berdebat juga, asas tak akan sama. Kalau selalu nak berdebat dengan orang yang esktrim dengan agama atau kurang amalkan ilmu agama, pastinya pihak yang taksub dan fanatik akan menjadi liberal,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.