Siak Masjid Antara Ditahan Kerana Dadah

Seorang siak antara 116 individu yang ditahan dalam Op Sarang yang dijalankan di sekitar daerah Kuantan bermula semalam hingga semalam.

Ketua Polis Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata lelaki berusia 29 tahun itu yang menjadi siak di sebuah masjid di Kuantan, ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Tanah Putih, hari ini.

Turut ditahan seorang remaja berusia 14 tahun, katanya kepada pemberita, di Kuantan hari ini.

Menurutnya kesemua suspek termasuk 11 wanita dipercayai penagih dan pengedar dadah kecil-kecilan, selain kesemuanya positif dadah.

“Dalam operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang melibatkan 160 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik Bukit Aman itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai bernilai RM8,730 merangkumi syabu, heroin, yaba, ganja dan ketamin,” katanya.

Menurutnya kesemua mereka yang berumur 14 hingga 50 tahun itu kini ditahan reman sehingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan beberapa seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Katanya siasatan lanjut akan diadakan bagi mengesan dalang yang terlibat membekalkan dadah kepada pengedar kecil-kecilan dan penagih di daerah ini.

“Dalam operasi yang turut disertai oleh Agensi Antidadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pendaftaran Negara itu, kita turut berjaya merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 125Z yang dipercayai motosikal curi,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.