Rindu Ashraf Terubat

Bintang kacak yang kini mencipta nama di persada seni Indonesia, Ashraf Sinclair, 38, mengakui rindu untuk kembali berlakon dengan produksi tempatan.

Kali terakhir pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini berlakon dengan produksi tempatan menerusi drama bersiri Renjis untuk saluran Astro.

Selepas 10 tahun, Ashraf kembali bekerjasama dengan produksi Malaysia menerusi siri mini lapan episod berjudul Do(S)a di platform digital on demand dan Astro Go serentak dengan tayangan di saluran Astro First bermula 14 Februari ini.

DO(s)A arahan pengarah terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah menampilkan kolaborasi pelakon hebat Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain Ashraf, drama ini turut dibintangi Datuk M Nasir, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Reuben Elishama, Daniella Sya, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid dan Tegar Satrya.

Secara peribadi, Ashraf mengakui dia puas apabila dapat bekerjasama semula dengan produksi tempatan.

“Saya sudah berikan komitmen terbaik untuk cerita ini seperti dikehendaki skripnya.

“Saya melakonkan watak Fuad, abang sulung empat saudara yang sangat melindungi keluarganya.

“Pada masa sama, bapa mereka, Latif (lakonan M Nasir), orang penting dalam organisasi membabitkan negara jiran,” katanya.

Ashraf ditemui pada sesi fotografi bersama barisan pelakon Do(s)a yang berlangsung di hotel di Seri Kembangan, Selangor Rabu lalu.

Mengulas mengenai cabaran, kata Ashraf, ia banyak membabitkan babak aksi dan seni silat termasuk menggunakan senjata.

“Saya mengalami kecederaan ketika membuat persiapan untuk drama ini.

“Mujur sudah pulih apabila penggambaran drama ini dimulakan di Jakarta.

“Ia sangat mencabar kerana membabitkan 22 koreografi dan seperti berlakon dalam lapan filem.

“Saya turut menjalani latihan intensif selama sebulan dan berat badan juga turun dua kilogram ketika menjayakan drama ini,” katanya.

Karya asal drama ini diilhamkan Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan penulis skrip terkenal Indonesia, Salman Aristo.

Ia menggunakan khidmat Pengarah Koreografi handalan dari Indonesia, Cecep Arif Rahman.

Drama ini juga kerjasama antara Astro, Arie Zaharie Production dan Capitol Entertainment Production (Indonesia).

Rumah tangga bahagia

Bukan saja berjaya sebagai pelakon, rumah tangga Ashraf dengan penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) bahagia sejak berkahwin pada 2008.

Hasil perkongsian hidup sedekad bersama BCL, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair, 7.

“Rumah tangga kami bahagia dan saya juga bertuah kerana memiliki isteri yang memahami.

“Soal menambah anak pula, kami serahkan pada rezeki,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran penyanyi terkenal Yuna sebagai bakal adik ipar, Ashraf menerimanya dengan hati terbuka.

Yuna mengikat tali pertunangan dengan adik lelaki bongsu Ashraf, Adam Yousof Sinclair yang juga pengarah iklan komersial, baru-baru ini.

“Saya kenal Yuna menerusi Adam. Siapa pun pilihan Adam, kami sekeluarga sangat gembira dan tetap akan terima kerana apa yang penting mereka bahagia hidup bersama.

“Setakat ini, persiapan untuk majlis perkahwinan Adam dan Yuna berjalan lancar,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.