Lupa Buat ‘Homework’, Timbalan KM Pulau Pinang Pun ‘Pening’ Isu Terowong

Cubaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mempertahankan ‘boss besarnya’ Lim Guan Eng memakan dirinya sendiri berikutan beliau sendiri tidak faham fakta dan kronologi berkaitan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Ramasamy menafikan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait pernah mengeluarkan kenyataan mengumumkan syarikat China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) sebagai salah satu daripada pemegang saham projek.

“Saya tidak fikir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengatakan bahawa CRCC memegang ekuiti dalam SPV,” katanya.

“Saya tidak fikir…”

Ianya adalah kenyataan paling mengarut dikeluarkan oleh seorang yang berjawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ujarnya, kenyataan Mokhtar diterbitkan oleh lidah rasmi kerajaan negeri sendiri, Buletin Mutiara pada 4 Mac 2013 yang menyebut CRCC adalah sebahagian daripada pemegang konsortium SPV yang menyumbang RM4 bilion untuk membentuk modal berbayar keseluruhan RM4.5492 bilion.

“Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70 peratus ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM3.5 juta dan RM4 bilion masing-masing; Beijing Urban Construction Group (BUCG) 10 peratus ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM541 juta”.

Tambahnya, Guan Eng sendiri pernah mengakui modal berbayar konsortium gabungan CRCC, Zenith Construction Sdn Bhd, BUCG, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juruteras Sdn Bhd sebanyak RM4.5 bilion.

“Hari ini, kedua-dua Beijing Urban Construction Group dan CRCC bukan pemegang saham dalam SPV dengan CRCC mengesahkan mereka sekadar kontraktor kepada SPV dan bukannya pemegang saham,” kata Ka Siong.

Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Dr Norvandri Hassan Basri turut mengutarakan pendapat sama terhadap Ramasamy yang menggesa orang nombor dua Pulau Pinang itu untuk membuat ‘homework’ sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Jelasnya, kerajaan DAP Pulau Pinang menetapkan kriteria modal berbayar RM381 juta sebagai modal minimum kepada mana-mana syarikat yang ingin merebut tender RM6.3 bilion membina projek terowong tersebut.

Tambahnya CRCC dan BUCG menafikan mereka sebagai pemegang saham projek bermakna tiada modal berbayar dari kedua-dua syarikat yang masing-masing bernilai RM4 bilion dan RM541 juta.

Justeru, baki modal dari kesemua syarikat disenaraikan cuma RM8.2 juta.

“Dan jika dicampur dengan modal berbayar syarikat fesyen Voir (RM66 juta) pun, modal berbayar SPV masih kurang daripada kriteria yang ditetapkan.” – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.