Mahathir Buat U-Turn Lagi

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa pemimpin Pas membidas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menutup pintu rundingan bersama parti tersebut, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sekali lagi membuat ‘pusingan U’ apabila menyatakan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan belum berakhir.

 

Beliau berkata, perbincangan dengan Pas masih diteruskan dan keputusan akan dibuat selepas pertemuan akhir antara kedua-dua parti yang dijadualkan pada 2 Februari ini.

 

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu menuduh sesetengah pemimpin Pas berhasrat mensabotaj kerjasama antara mereka setelah beliau menerima kecaman hebat termasuk disifatkan sebagai pemimpin angkuh.

 

“Perjumpaan akan diketuai Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menentukan pendirian Pas. Sebelum itu, kita tidak akan kata apa-apa sehingga rundingan itu tamat.

 

“Sama ada Pas ma­suk atau tidak, penyertaan kita bersama pembangkang akan dibuat secara rasmi,” katanya ketika sidang akhbar, pada Rabu.

 

Dalam satu temu bual bersama akhbar Singapura, The Sunday Times baru-baru ini, Dr. Mahathir memilih untuk melupakan pakatan dengan Pas apabila parti pimpinannya mahu mengutamakan kerjasama dengan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia menutup pintu rundingan dengan Pas ekoran keengganan parti tersebut bekerjasama dengan parti-parti sekutu PPBM dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai kertas siasatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang mempertikaikan respon pentadbiran beliau terhadap skandal kewangan Bumiputra Malaysia Finance Ltd. (BMF), Dr. Mahathir berkata, laporan lain yang menyiasat skandal tersebut menunjukkan beliau tidak terbabit dalam hal itu.

 

“Perkara ini berlaku terlalu lama pada 1981 hingga 1984, kenapa bangkitkan semula sekarang? Bolehkah anda betulkan apa-apa yang saya buat dulu?

 

“Tujuannya ialah politik, mungkin ada orang yang akan terima manfaat daripada ini. Ada laporan lain yang berbeza dengan laporan CIA. Baca laporan itu juga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.